Apa itu Metoprolol?
Metoprolol adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis beta-blocker. Ia bertindak pada reseptor beta yang terletak pada jantung dan salur darah untuk mengurangkan beban kerja otot jantung dan menurunkan tekanan darah pada salur darah vena dan arteri.
Metoprolol digunakan untuk merawat penyakit angina dan tekanan darah tinggi. Pengambilannya juga didapati dapat membantu untuk mengurangkan faktor morbiditi penyakit lemah jantung.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Metoprolol?
Anda tidak boleh menggunakan metoprolol sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan lain yang berasal daripada kumpulan beta-blocker seperti atenolol, carvedilol, labetalol, nadolol, nebivolol, propranolol dan sotalol
- penyakit konduksi jantung yang serius seperti heart block dan sick sinus syndrome
- degupan jantung yang sangat perlahan
- penyakit kegagalan fungsi jantung (lemah jantung)
- gangguan pada peredaran darah seperti penyakit Raynaud’s syndrome
Untuk memastikan metoprolol selamat untuk diambil oleh anda, maklumkan kepada doktor jika anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit lemah jantung
- asma, bronkitis, emphysema
- kencing manis
- hipertiroid (hormon tiroid tinggi di dalam darah)
- penyakit kegagalan fungsi hati
- pheochromocytoma (tumor kelenjar adrenal)
- penyakit vaskular periferal seperti Raynaud’s syndrome
- alahan kepada ubat-ubatan yang berasal daripada kumpulan beta-blocker
Pengambilan Metoprolol semasa mengandung
Tiada bukti kukuh untuk mengesahkan bahawa pengambilan Metoprolol semasa hamil selamat kepada bayi dalam kandungan. Oleh itu, pengambilannya hanya disyorkan sekiranya keadaan terdesak dan harus dipantau dengan teliti oleh doktor.
Pengambilan Metoprolol semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan Metoprolol boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memberikan kesan negatif kepada kesihatan bayi yang menyusu. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan dianggap selamat.
Cara pengambilan Metoprolol
Ambil metoprolol seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Metaprolol harus diambil semasa atau selepas makan.
Sekiranya dos yang anda ambil adalah separuh daripada dos 1 tablet ubat, anda dibenarkan untuk memecahkan ubat ini kepada separuh dan simpan bahagian ubat yang tidak digunakan dengan selamat ditempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan.
Metoprolol juga boleh diperolehi di dalam bentuk suntikan. Ubat ini biasanya akan disuntik melalui salur darah vena (intravenous) oleh para doktor atau jururawat. Ia biasanya akan diberikan kepada pesakit yang menghidap tekanan darah yang sangat tinggi dan ianya perlu diturunkan dengan segera.
Sepanjang tempoh pengambilan metoprolol, doktor akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan Metoprolol
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- rasa hendak pitam
- kadar denyutan jantung yang perlahan
- sesak nafas (walaupun dengan senaman ringan), bengkak pada bahagian kaki, peningkatan berat badan secara mendadak
- rasa kesejukan dan kulit bertukar menjadi pucat pada bahagian tangan dan kaki
Walau bagaimanapun, kesan sampingan Metoprolol yang biasa berlaku adalah:
- pening kepala
- keletihan
- kulit berasa gatal dan menjadi merah secara tiba-tiba
- kemurungan
- mudah berasa keliru
- mengalami mimpi ngeri
- insomnia
- cirit-birit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Metoprolol
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Metoprolol dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat untuk merawat penyakit jantung dan darah tinggi
- epinephrine
- ubat untuk merawat masalah kemurungan
- ubat jenis ergot seperti dihydroergotamine, ergonovine, ergotamine dan methylergonovine
- ubat MAO inhibitor seperti isocarboxazid, linezolid, phenelzine, rasagiline, selegiline dan tranylcypromine
Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.