Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Naproxen | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Na Ne No

Naproxen | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Naproxen?

Naproxen adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAID). Ia bertindak dengan merencatkan penghasilan prostaglandin iaitu sejenis bahan kimia di dalam badan yang boleh menyebabkan keradangan dan kesakitan pada badan. 

Naproxen digunakan untuk:

  • melegakan rasa sakit pada bahagian otot, sendi dan tulang
  • merencat tindak balas radang yang disebabkan oleh jangkitan kuman, kecederaan, tindak balas sistem imunisasi dan sebagainya

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Naproxen?

Anda tidak boleh menggunakan Naproxen sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID) yang lain seperti mefenamic acid (ponstan), diclofenac sodium (voltaren) indomethacin dan ibuprofen
  • lelah
  • penyakit ulser perut atau usus

Untuk memastikan pengambilan Naproxen adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan hiperlipidemia 
  • pernah mengalami angin ahmar
  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati
  • lelah
  • sedang mengambil ubat aspirin untuk rawatan penyakit jantung atau angin ahmar
  • pernah menghidap ulser perut atau usus

Naproxen tidak boleh diambil oleh pesakit yang berumur di bawah 12 tahun.

Pengambilan Naproxen semasa mengandung

Tiada kajian yang mencukupi untuk membuktikan Naproxen selamat untuk diambil semasa mengandung. Pengambilannya masih dibenarkan sekiranya terdesak semasa tempoh kehamilan masih di bawah 20 minggu. Namun pengambilan Naproxen selepas 20 minggu kehamilan boleh meningkatkan risiko kerosakan pada buah pinggang dan jantung bayi dalam kandungan. 

Pengambilan Naproxen semasa penyusuan badan

Tiada kajian yang kukuh untuk mengesahkan sama ada Naproxen boleh meresap ke dalam susu badan dan memudaratkan kesihatan bayi yang menyusu. Oleh itu, pengambilan Naproxen hanya disyorkan sekiranya tiada pilihan ubat-ubatan lain yang dapat merawat pesakit dan pengambilannya juga harus pada dos paling rendah.

Cara pengambilan Naproxen

Ambil Naproxen seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Naproxen sebaik-baiknya diambil selepas makan kerana ia dapat menghindari anda daripada simptom perut kembung dan sakit perut.

Untuk pengambilan Naproxen dalam bentuk tablet, sekiranya dos yang anda ambil adalah separuh daripada dos 1 tablet ubat, anda dibenarkan untuk memecahkan ubat ini kepada separuh dan simpan bahagian ubat yang tidak digunakan dengan selamat ditempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan.

Sekiranya anda menggunakan ubat ini untuk jangka panjang, anda mungkin perlu untuk menjalani ujian darah secara berkala bagi memastikan tiada kesan sampingan ubat terhadap organ-organ anda.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Naproxen

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • tanda-tanda serangan jantung seperti sesak nafas, sakit dada yang merebak ke bahagian bahu kiri dan rahang, berpeluh dan rasa loya 
  • kenaikan berat badan secara mendadak dan bengkak kaki
  • rasa loya, muntah dan demam
  • pembentukan ruam merah pada bahagian tertentu badan
  • tanda-tanda ulser perut seperti sakit teruk pada bahagian atas abdomen, najis berwarna hitam, muntah berdarah atau berwarna hitam
  • tanda-tanda masalah hati seperti sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen yang merebak ke bahagian belakang dan bahu sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
  • tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas dan bengkak pada kedua-dua belah kaki
  • tanda-tanda anemia seperti kulit kelihatan pucat, rasa letih yang melampau, sesak nafas, jantung berdebar dan pening kepala

Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Naproxen ialah:

  • telinga berdesing
  • pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan
  • sakit atau pening kepala
  • sakit perut, kembung perut, rasa pedih pada ulu hati, loya dan muntah

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Naproxen

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Naproxen dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • cholestyramine
  • cyclosporine
  • digoxin
  • lithium
  • methotrexate
  • pemetrexed
  • phenytoin
  • probenecid
  • warfarin
  • ubat antidiuretik
  • ubat-ubatan untuk rawatan penyakit jantung dan darah tinggi
  • ubat-ubatan untuk rawatan penyakit kencing manis seperti insulin, metformin dan gliclazide

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar