Apa itu Neomycin?
Neomycin adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan antibiotik jenis aminoglycoside. Ia bertindak dengan membunuh bakteria jenis gram-negative aerobic bacilli dan anaerobic bacilli.
Neomycin biasanya digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada usus, kulit dan membran mukosa seperti mata. Ia juga digunakan untuk melegakan simptom hepatic encephalopathy.
Neomycin boleh diperolehi dalam bentuk oral, krim, ointment dan ubat titis.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Neomycin?
Anda tidak boleh menggunakan Neomycin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan aminoglycoside yang lain seperti amikacin, gentamicin, kanamycin, paromomycin, streptomycin dan tobramycin
- penyakit inflammatory bowel disease seperti ulcerative colitis dan Crohn’s disease
- penyakit usus tersumbat
Untuk memastikan pengambilan Neomycin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit buah pinggang
- myasthenia gravis
- penyakit Parkinson
- masalah pendengaran
Pengambilan Neomycin semasa mengandung
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan Neomycin semasa kehamilan boleh memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, ia tidak disyorkan untuk diambil semasa mengandung.
Pengambilan Neomycin semasa penyusuan badan
Kajian pengambilan Neomycin semasa penyusuan badan menunjukkan berlaku kesan sampingan yang minima pada bayi yang menyusu. Namun, kajian pengambilannya semasa penyusuan badan masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilan Neomycin hanya disyorkan sekiranya tiada pilihan ubat-ubatan lain yang dapat merawat pesakit dan pengambilannya juga harus dipantau oleh doktor.
Cara pengambilan Neomycin
Ambil Neomycin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Jangan ambil Neomycin dalam tempoh yang lebih lama daripada 2 minggu kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan pendengaran yang kekal.
Pastikan anda minum air kosong yang banyak semasa mengambil Neomycin bagi menghidari kesan sampingan ubat ini pada buah pinggang anda.
Ujian darah dan audiometri juga akan dilakukan semasa pengambilan ubat ini bagi memastikan tiada kesan sampingan ubat terhadap organ-organ anda.
Bagi rawatan hepatic encephalopathy, Neomycin biasanya akan diberikan dalam tempoh 5-6 hari. Dalam tempoh tersebut, anda juga harus mengelak daripada mengambil diet tinggi protein.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Neomycin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- rasa kesemutan dan kebas pada bahagian kaki dan tangan
- hilang pendengaran
- sesak nafas
- pergerakan otot-otot kaki dan tangan yang tak terkawal atau sawan
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas dan bengkak pada kedua-dua belah kaki
Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Neomycin ialah:
- loya, muntah
- cirit-birit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Neomycin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Neomycin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- antibiotik daripada kumpulan lain seperti penicillin
- digoxin
- fluorouracil
- methotrexate
- vitamin B-12
- warfarin
- ubat antidiuretik seperti furosemide dan ethacrynic acid
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.