Apa itu Norflex?
Norflex adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan generik orphenadrine. Ia digunakan untuk melegakan ketegangan dan sakit otot yang disebabkan oleh kecederaan.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Norflex?
Anda tidak boleh menggunakan Norflex sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan generik orphenadrine
- kencing tak lawas yang disebabkan oleh pembengkakan kelenjar prostat
- glaucoma
- ulser perut atau usus
- myasthenia gravis
- penyakit perut atau usus tersumbat
- susah hendak menelan makanan atau mudah rasa tercekik semasa menelan
Untuk memastikan pengambilan Norflex adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit lemah jantung
- penyakit koronari arteri jantung
- arritmia jantung (cardiac arrhythmia)
- sedang mengambil ubat jenis opioid
Pengambilan Norflex semasa kehamilan
Tiada kajian kukuh untuk mengesahkan bahawa pengambilan Norflex semasa mengandung tidak memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan melainkan ia jelas perlu untuk mengurangkan risiko komplikasi penyakit yang dihidapi pesakit.
Pengambilan Norflex semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang sahih untuk mengesahkan bahawa Norflex tidak meresap ke dalam susu badan. Kesannya terhadap bayi yang menyusu juga masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan melainkan ia jelas perlu untuk mengurangkan risiko komplikasi penyakit yang dihidapi pesakit.
Cara pengambilan Norflex
Ambil Norflex seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Norflex boleh diambil semasa atau selepas makan.
Jangan pecahkan atau hancurkan ubat ini sebelum mengambilnya kerana ia boleh menyebabkan pengambilannya menjadi kurang berkesan. Telan ubat ini sebiji terus dengan air kosong.
Pengambilan norflex biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti fisioterapi. Oleh itu, pastikan anda mengikuti program yang telah dirancang oleh doktor anda dengan betul.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Norflex
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- pening atau rasa hendak pitam
- kencing tak lawas
- kesakitan semasa kencing
- halusinasi
- perubahan emosi seperti berasa gelisah dan cemas
- menggeletar pada tangan dan kaki
- jantung berdebar
Namun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Norflex adalah:
- pening kepala
- kelesuan pada seluruh badan
- loya, muntah
- mulut berasa kering
- sembelit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Norflex
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Norflex dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- baclofen
- Benadryl (diphenhydramine)
- clonazepam
- Cymbalta (duloxetine)
- Flexeril (cyclobenzaprine)
- gabapentin
- Klonopin (clonazepam)
- lisinopril
- Lyrica (pregabalin)
- Neurontin (gabapentin)
- Norco (acetaminophen / hydrocodone)
- tramadol
- trazodone
- Xanax (alprazolam)
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.