Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Ofloxacin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Of Om Or

Ofloxacin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Ofloxacin?

Ofloxacin adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis quinolone. Ia bertindak merencatkan enzim topoisomerase IV and DNA gyrase pada sel bakteria yang penting untuk transkripsi, replikasi dan pemulihan struktur DNA sel bakteria.

Ofloxacin digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada kulit, paru-paru, kelenjar prostat dan saluran kencing. Ia juga digunakan untuk merawat penyakit pelvic inflammatory disease, jangkitan chlamydia dan gonorrhea.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Ofloxacin?

Anda tidak boleh menggunakan Ofloxacin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan lain daripada kumpulan quinolone seperti ciprofloxacin, gemifloxacin, levofloxacin, moxifloxacin dan norfloxacin
  • penyakit bengkak urat tendon atau pernah mengalami urat tendon terkoyak akibat kecederaan

Untuk memastikan pengambilan Ofloxacin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit yang berkaitan dengan tendon, tulang dan sendi
  • penyakit pembuluh darah tersumbat, aneurysm, arteriosklerosis
  • penyakit jantung dan tekanan darah tinggi
  • penyakit genetik seperti sindrom Marfan atau sindrom Ehler-Danlos
  • diabetes
  • gangguan otot dan saraf seperti penyakit myasthenia gravis
  • penyakit hati atau buah pinggang
  • sawan
  • long QT syndrome (dalam diri sendiri atau ahli keluarga)
  • paras kalium yang rendah dalam darah (hipokalemia)

Ofloxacin juga tidak disyorkan untuk digunakan oleh pesakit yang berumur di bawah 18 tahun.

Pengambilan Ofloxacin semasa kehamilan

Kajian pengambilan Ofloxacin pada haiwan yang hamil mendapati berlakunya kecatatan pada anak yang dilahirkan. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan melainkan ia jelas perlu untuk mengurangkan risiko komplikasi penyakit yang dihidapi pesakit.

Pengambilan Ofloxacin semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan Ofloxacin boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk mengancam kesihatan bayi yang menyusu. Oleh itu, pengambilannya masih dianggap selamat tetapi harus dipantau oleh doktor. Sebaik-baiknya, elakkan penyusuan badan dalam tempoh 4-6 jam selepas pengambilan ubat ini bagi mengurangkan risiko penyerapan ubat ke dalam susu.

Cara pengambilan Ofloxacin

Ambil Ofloxacin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Ofloxacin boleh diambil semasa atau selepas makan.

Pastikan anda minum air yang banyak sepanjang tempoh pengambilan ubat ini bagi mengelak ketoksikan ubat pada sistem ginjal.

Pastikan Ofloxacin diambil sehingga habis walaupun anda merasa penyakit anda telah sembuh bagi mengelak daripada berlakunya resistan ubat ini pada masa akan datang.

Sepanjang tempoh pengambilan Ofloxacin, anda mungkin perlu untuk menjalani ujian darah secara berkala bagi memastikan tiada kesan sampingan ubat terhadap organ-organ anda.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Ofloxacin

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • tanda-tanda hipoglisemia (gula darah menjadi rendah) seperti sakit atau pening kepala, kelaparan yang tak terkawal, berpeluh, tangan menggeletar, loya dan jantung berdebar
  • tanda-tanda gangguan urat saraf seperti rasa kesemutan, kebas, pijau atau lemah pada tangan dan kaki
  • perubahan pada tingkah laku seperti rasa kegelisahan, kekeliruan, paranoia, halusinasi, masalah ingatan atau masalah untuk menumpukan perhatian
  • tanda-tanda gangguan urat tendon seperti bengkak, lebam, rasa kesakitan dan kaku pada bahagian sendi
  • sakit perut dan cirit-birit
  • sakit dada, sesak nafas dan jantung berdebar
  • pembentukan ruam merah 
  • rasa kelesuan yang ekstrim
  • sawan
  • kencing tak lawas 
  • tanda-tanda masalah hati seperti sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen yang merebak ke bahagian belakang dan bahu sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
  • tanda-tanda tekanan darah tinggi pada bahagian kepala seperti sakit kepala yang teruk, telinga berdesing dan penglihatan kabur

Walau bagaimanapun, kesan sampingan Ofloxacin yang biasa berlaku adalah:

  • loya
  • sakit atau pening kepala
  • sembelit atau cirit-birit

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Ofloxacin

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Ofloxacin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • antacid
  • didanosine
  • vitamin dan mineral yang mengandungi kalsium, zat besi, magnesium dan zinc

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar