Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Omeprazole | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Of Om Or

Omeprazole | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Omeprazole?

Omeprazole adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis perencat pam proton (proton pump inhibitor). Ia bertindak dengan merencatkan tindakan enzim H+/K+ ATPase pada dinding mukosa perut yang bertanggungjawab untuk menghasilkan asid jus gastrik.

Omeprazole digunakan untuk merawat penyakit ulser perut dan duodenum, Zollinger-Ellison syndrome dan refluks asid gastroesofagus (gastroesophageal reflux disease).

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Omeprazole?

Anda tidak boleh menggunakan Omeprazole sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan lain yang berasal daripada kumpulan proton pump inhibitor seperti esomeprazole, lansoprazole, pantoprazole, rabeprazole, Nexium, Prevacid dan Protonix
  • penyakit buah pinggang
  • kesukaran bernafas
  • sedang mengambil ubat rilpivirine untuk rawatan penyakit HIV

Untuk memastikan pengambilan Omeprazole adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • kesukaran untuk menelan
  • tanda-tanda perdarahan pada sistem penghadaman iaitu:
    • najis berwarna hitam atau bercampur darah
    • muntah berwarna kopi atau bercampur darah
  • kerap mengalami pedih ulu hati selama lebih daripada 3 bulan
  • kerap mengalami sakit dada dan sesak nafas
  • susut berat badan yang drastik
  • sakit perut yang hadir dengan simptom sampingan loya dan muntah
  • penyakit hati
  • osteoporosis
  • paras magnesium darah yang rendah

Pengambilan Omeprazole untuk jangka panjang boleh merapuhkan tulang anda. Oleh itu, bincang dengan doktor anda berkenaan cara penjagaan tulang yang efektif.

Pengambilan Omeprazole semasa kehamilan

Kajian menunjukkan pengambilan Omeprazole semasa kehamilan tidak memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, ia selamat untuk diambil oleh wanita hamil.

Pengambilan Omeprazole semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan Omeprazole boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit untuk memudaratkan kesihatan bayi yang menyusu. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa penyusuan badan tetapi sebaik-baiknya pada dos yang rendah.

Cara pengambilan Omeprazole

Ambil Omeprazole seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Omeprazole boleh diambil sebelum atau selepas makan. Ia sebaik-baiknya diambil pada awal pagi. 

Omeprazole biasanya boleh diperolehi dalam bentuk kapsul dan suntikan. 

Sekiranya anda mengalami masalah untuk menelan ubat, anda bolehlah membuka kapsul ubat dan taburkan serbuk ubat ke dalam 1/4 gelas air kosong untuk diminum terus. Ia harus diambil 1 jam sebelum makan.

Suntikan Omeprazole biasanya akan diberikan dengan cara suntikan ke dalam salur darah vena (intravenous) dalam rawatan kes-kes yang serius kerana ia akan melegakan simptom dengan lebih cepat.

Ubat ini boleh menjejaskan keputusan ujian darah anda. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sekiranya anda berhajat untuk melakukan ujian darah.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Omeprazole

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • sakit perut yang teruk dan disertai dengan cirit-birit
  • sakit sendi yang teruk
  • sawan
  • tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas, bengkak pada kedua-dua belah kaki, kencing berdarah dan kenaikan berat badan secara mendadak
  • tanda-tanda kurang magnesium dalam darah seperti pening kepala, jantung berdebar, otot mengalami kekejangan dan rasa gelisah
  • tanda-tanda penyakit lupus seperti pembentukan ruam merah yang pijau pada bahagian muka dan sakit sendi

Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Omeprazole ialah:

  • sakit perut dan perut kembung
  • sakit kepala
  • loya, muntah
  • tanda-tanda demam selsema seperti demam, selsema dan sakit tekak

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Omeprazole

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Omeprazole dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • digoxin
  • clopidogrel
  • methotrexate
  • ubat antidiuretik seperti furosemide
  • antibiotik seperti amoxicillin, clarithromycin dan rifampin

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar