Apa itu Pantoprazole?
Pantoprazole adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis proton pump inhibitor. Ia bertindak dengan merencatkan tindakan enzim H+/K+ ATPase pada dinding mukosa perut yang bertanggungjawab untuk menghasilkan asid jus gastrik.
Pantoprazole digunakan untuk merawat penyakit radang esofagus (erosive esophagitis) yang disebabkan oleh reflux jus asid perut, penyakit ulser perut dan Zollinger-Ellison syndrome.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Pantoprazole?
Anda tidak boleh menggunakan Pantoprazole sekiranya anda menghidap masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan lain yang berasal daripada kumpulan proton pump inhibitor seperti esomeprazole, lansoprazole, omeprazole, rabeprazole, Nexium, Prevacid dan Protonix
- sedang mengambil ubat rilpivirine untuk rawatan penyakit HIV
- penyakit buah pinggang
- kesukaran bernafas
Untuk memastikan pengambilan Pantoprazole adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- paras magnesium darah yang rendah
- osteoporosis
- penyakit lupus seperti pembentukan ruam merah yang pijau pada bahagian muka dan sakit sendi
Pengambilan Pantoprazole semasa kehamilan
Kajian menunjukkan pengambilan Pentoprozole semasa kehamilan tidak memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, ia selamat untuk diambil oleh wanita hamil.
Pengambilan Pantoprazole semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan Pantoprazole boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit untuk memudaratkan kesihatan bayi yang menyusu. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa penyusuan badan tetapi sebaik-baiknya pada dos yang rendah.
Cara pengambilan Pantoprazole
Ambil Pantoprazole seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Pantoprazole boleh diambil sebelum atau selepas makan. Ia sebaik-baiknya diambil pada awal pagi.
Mulakan pengambilan ubat ini pada dos yang paling rendah dahulu. Sekiranya kurang berkesan, naikkan dosnya secara berperingkat sehingga ianya berkesan untuk melegakan simptom anda.
Telan ubat ini tanpa menghancurkan, mengunyah atau memecahkannya. Beritahu doktor jika anda mengalami masalah untuk menelan ubat.
Sekiranya anda perlu menjalani ujian darah, maklumkan kepada doktor bahawa anda sedang mengambil Pantoprazole kerana ubat ini boleh mengubah keputusan ujian darah.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Pantoprazole
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- sakit perut yang teruk dan disertai dengan cirit-birit
- sakit sendi yang teruk
- lebam pada bahagian kulit yang menerima suntikan ubat
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas, bengkak pada kedua-dua belah kaki, kencing berdarah dan kenaikan berat badan secara mendadak
- tanda-tanda penyakit lupus seperti pembentukan ruam merah yang pijau pada bahagian muka dan sakit sendi
- tanda-tanda kurang magnesium dalam darah seperti pening kepala, jantung berdebar, otot mengalami kekejangan dan rasa gelisah
Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Pantoprazole ialah:
- sakit perut dan perut kembung
- sakit kepala
- loya, muntah
- sakit sendi
- tanda-tanda demam selsema seperti demam, selsema dan sakit tekak
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Pantoprazole
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Pantoprazole dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- digoxin
- clopidogrel
- methotrexate
- ubat antidiuretik seperti furosemide
- antibiotik seperti amoxicillin, clarithromycin dan rifampin
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.