Apa itu Phenytoin?
Phenytoin adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat penyakit sawan. Ia bertindak dengan cara melambatkan penghantaran isyarat impuls saraf pada sistem saraf pusat dan sistem saraf periferi.
Phenytoin boleh diambil dalam bentuk kapsul atau suntikan. Jenama yang boleh diperolehi di pasaran adalah Dilantin, Ditoin dan Phenytek.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Phenytoin?
Anda tidak boleh menggunakan phenytoin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan yang serupa dengannya seperti ethotoin, fosphenytoin dan mephenytoin
- penyakit hati
- sedang mengambil ubat delavirdine (Rescriptor)
Untuk memastikan pengambilan phenytoin adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung
- penyakit hati
- kencing manis
- kemurungan
- pemikiran untuk membunuh diri
- porphyria
- kekurangan vitamin D di dalam badan
Pengambilan Phenytoin semasa kehamilan
Kajian pengambilan phenytoin oleh haiwan hamil menunjukkan terdapat kesan sampingan kecacatan dan kematian ke atas kandungan. Oleh itu, pengambilan phenytoin semasa mengandung bergantung kepada tahap kawalan penyakit sawan pesakit. Kebiasaannya ubat ini tidak dapat dihentikan secara terus kerana ia boleh meningkatkan risiko pesakit untuk menghidap serangan sawan secara tiba-tiba. Namun, dosnya boleh diturunkan sekiranya pesakit mempunyai tahap kawalan sawan yang baik.
Serangan sawan semasa kehamilan boleh membahayakan nyawa ibu dan bayi. Oleh itu, sekiranya anda sedang mengambil phenytoin dan merancang untuk mengandung, dapatkan pandangan doktor mengenai tahap kawalan penyakit sawan anda.
Pengambilan Phenytoin semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan bahawa phenytoin boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Namun, sekiranya pesakit mengambil lebih daripada satu jenis ubat sawan, risiko kemudaratan adalah lebih tinggi. Oleh itu, phenytoin dianggap selamat untuk digunakan semasa penyusuan badan sebagai monoterapi.
Cara pengambilan Phenytoin
Ambil phenytoin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Phenytoin boleh diambil sebelum atau selepas makan.
Jangan buka kapsul ubat untuk mengambil serbuk ubat yang terkandung di dalamnya kerana cara pengambilan sebegini kurang berkesan. Oleh itu, telan ubat ini sebiji dengan air kosong.
Dalam keadaan kecemasan, phenytoin boleh diberikan dalam bentuk suntikan ke dalam urat darah vena untuk memberikan kesan kelegaan yang lebih cepat.
Anda perlu menjalani ujian darah secara berkala sepanjang tempoh penggunaan ubat ini bagi memantau kesan sampingan ubat terhadap organ-organ penting seperti hati dan buah pinggang.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Phenytoin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- perubahan emosi dan tingkah laku seperti berperangai agresif, rasa cemas, gelisah, murung, paranoid dan berperasaan untuk membunuh diri
- tanda-tanda denyutan jantung lemah seperti pening kepala, rasa pitam, rasa tak selesa pada bahagian dada dan nadi berdenyut perlahan (< 60 denyutan per minit)
- pembentukan ruam merah pada kulit
- tanda-tanda demam selsema seperti sakit kepala, demam, selsema dan bengkak kelenjar pada bahagian leher
- bengkak gusi dan pembentukan ulser mulut
- kulit lebam dan mempunyai banyak tompok merah yang halus (petichiae)
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
Walau bagaimanapun, kesan sampingan phenytoin yang lazim berlaku adalah:
- pening kepala
- pertuturan pelat
- mudah berperasaan keliru
- pergerakan mata yang tak normal (nystagmus)
- hilang keseimbangan badan semasa berjalan dan berdiri
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Phenytoin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan phenytoin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- Azapropazone
- Darunavir
- Delavirdine
- Dofetilide
- Etravirine
- Nisoldipine
- Rilpivirine
- Colesevelam
- Molindone
- Orlistat
- Pyridoxine (vitamin B6)
- Sucralfate
- Telithromycin