Apa itu Quazepam?
Quazepam adalah ubat yang tergolong di dalam kumpulan benzodiazepine. Ia bertindak secara spesifik pada reseptor saraf GABAA (GABAAR) yang terletak pada otak untuk mendorong rasa mengantuk.
Quazepam digunakan untuk merawat masalah insomnia. Ia biasanya diambil untuk tempoh 7-14 hari.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Quazepam?
Anda tidak boleh menggunakan quazepam sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan benzodiazepine seperti alprazolam, diazepam, lorazepam, midazolam, Ativan, Valium, Tranxene, Versed dan Xanax
- gangguan pernafasan yang kronik seperti apnea semasa tidur dan asma
Untuk memastikan pengambilan quazepam adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- gangguan pernafasan yang kronik
- ketagihan dadah dan minuman keras
- perasaan untuk membunuh diri
- penyakit buah pinggang dan hati
- penyakit mental seperti kemurungan
Pengambilan Quazepam semasa kehamilan
Tiada kajian pengambilan quazepam oleh wanita hamil yang telah dilakukan secara terperinci. Namun terdapat segelintir kes pengambilan quazepam oleh wanita hamil pada waktu kelahiran yang mengakibatkan bayi yang baru lahir mengalami masalah withdrawal seperti kesukaran bernafasan, lemah anggota badan, kesukaran untuk menyusu dan hipotermia.
Oleh itu, pengambilan quazepam semasa kehamilan tidak disyorkan.
Pengambilan Quazepam semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan quazepam boleh meresap ke dalam susu badan sebanyak 2.3% daripada dos ubat yang diambil. Oleh itu, pengambilan quazepam semasa penyusuan badan harus pada dos yang rendah dan dipantau dengan teliti oleh doktor bagi mengelak kesan withdrawal pada bayi apabila ubat tersebut dihentikan.
Pengambilan quazepam juga sebaik-baiknya dielakkan semasa penyusuan badan kecuali sekiranya terdesak.
Cara pengambilan Quazepam
Ambil quazepam seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Quazepam harus diambil dalam tempoh 1/2 jam daripada waktu tidur anda. Ia hendaklah diambil dengan perut kosong. Jangan sekali-kali mengambilnya selepas makan.
Keadaan yang melarang anda daripada mengambil quazepam adalah:
- masa tidur yang dijadualkan adalah singkat (kurang daripada 6 jam)
- anda perlu memandu jarak jauh pada keesokan harinya
- anda perlu mengendali jentera berat pada keesokan harinya
Jangan sekali-kali berkongsi ubat ini dengan orang lain, terutamanya dengan seseorang yang mempunyai sejarah ketagihan dadah. Penyalahgunaan ubat ini boleh menyebabkan ketagihan, overdose ubat dan kematian. Simpan ubat ini di tempat yang tidak mudah dijumpai oleh orang lain.
Jangan menggunakan ubat ini untuk tempoh yang lebih daripada 10 hari tanpa mendapat nasihat daripada doktor.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Quazepam
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- kesukaran bernafas
- perasaan untuk membunuh diri
- halusinasi
- kemurungan
- mudah berasa keliru dan gelisah
Walau bagaimanapun, kesan sampingan quazepam yang lazim berlaku adalah:
- pening atau sakit kepala
- berasa mengantuk
- kelesuan pada seluruh badan
- mulut berasa kering
- sakit perut atau perut kembung
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Quazepam
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan quazepam dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- Cimetidine
- Clozapine
- Disulfiram
- fluoxetine
- fluvoxamine
- Kava
- Nefazodone
- Sodium oxybate
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.