Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Quercetin | Kebaikan, kesan sampingan & Interaksi ubat
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Quercetin | Kebaikan, kesan sampingan & Interaksi ubat

by admin
0 comments

Apa itu Quercetin?

Quercetin adalah sejenis flavonol tumbuhan yang berasal daripada kumpulan polyphenol. Ia bertindak sebagai antioksidan dengan merencatkan aktiviti enzim quinone reductase 2 (QR2) yang boleh memangkinkan tindak balas pengoksidaan di dalam badan. Walaupun banyak kajian telah mengesahkan kebaikan quercetin, namun ramai di kalangan kita masih kabur mengenai manfaatnya kepada kesihatan.

Quercetin banyak terkandung di dalam capers, beri goji, daun lovage, asparagus, bawang merah, cranberry, epal, sayur kale, kacang bendi, sayur bayam, elderberry, anggur merah, plum hitam dan lada loceng.

Apakah kebaikan quercetin?

Sebagai antioksidan yang kuat, quercetin mempunyai kebaikan untuk:

  1. Melegakan tindak balas keradangan
    • Quercetin dapat mengurangkan tindak balas keradangan yang berlaku pada pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, hiperlipidemia, kanser, katarak, ulser perut, neuropati dan bengkak kelenjar prostat
  2. Merencatkan tindak balas alahan
    • Quercetin dapat bertindak sebagai anti-histamin. Anti-histamin berfungsi untuk merencatkan tindak balas sejenis bahan di dalam badan yang dinamakan histamin yang boleh menyebabkan simptom-simptom alahan seperti bersin, selsema, batuk dan kegatalan.
  3. Melindungi jantung
    • Quercetin dapat melindungi jantung daripada tindak balas pengoksidaan yang boleh menyebabkan pembentukan atherosklerosis pada salur darah jantung. 
    • Risiko untuk menghidap serangan jantung juga dapat dikurangkan kerana quercetin boleh menghindar kenaikan paras kolesterol dan tekanan darah.
  4. Meningkatkan stamina
    • Mengikut kajian, quercetin berjaya meningkatkan stamina para atlit kerana ia dapat melancarkan peredaran darah
  5. Melegakan kesakitan
    • Sebagai antioksidan, quercetin dapat melegakan tindak balas radang yang berlaku dalam penyakit arthritis seperti arthritis gout, rheumatoid arthritis dan osteoarthritis
  6. Mencegah kanser
    • Quercetin dapat meneutralkan radikal bebas yang hadir di dalam badan. Radikal bebas biasanya terdapat pada bahan-bahan karsinogen seperti bahan kimia yang terkandung di dalam makanan, gas toksik dan sebagainya. Bahan karsinogen bertanggungjawab untuk memutasikan sel-sel normal badan untuk membentuk sel-sel kanser
  7. Menjaga kulit 
    • Quercetin dapat melambatkan proses degenerative pada kulit dan menghindari kulit berkedut
    • Ia juga dapat menghindari kulit daripada tindak balas alahan seperti dermatitis atopik

Walaupun quercetin telah terbukti dapat berfungsi sebagai bahan antioksidan, namun manfaatnya kepada kesihatan masih memerlukan lebih banyak kajian terperinci. 

Cara pengambilan Quercetin

Seperti yang sedia maklum, quercetin boleh diperolehi daripada makanan tertentu. Mengikut kajian, pengambilan quercetin daripada diet oleh individu yang sihat dianggarkan lebih kurang 50mg sehari. Kandungan ini tidak cukup sekiranya ia diperlukan untuk merawat penyakit-penyakit tertentu.

Untuk pengambilan quercetin dalam dos yang tinggi, anda boleh memperolehinya daripada supplemen quercetin yang terdapat di pasaran. Pengambilan supplemen quercetin dalam dos 500mg-1000mg sehari dianggap selamat. 

Kesan sampingan Quercetin

Pengambilan quercetin dalam dos yang tinggi boleh mendatangkan kesan sampingan pada sesetengah orang. Antara kesan sampingan yang boleh berlaku adalah:

  1. pening kepala
  2. sakit kepala
  3. darah cair
  4. kerosakan buah pinggang
  5. perut kembung dan sakit perut

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Quercetin

Anda tidak boleh mengambil quercetin sekiranya anda sedang menggunakan ubat-ubatan berikut:

  1. ubat cair darah jenis warfarin
  2. ubat kemoterapi
  3. kortikosteroid seperti prednisolone
  4. cyclosporin
  5. antibiotik

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar