Apa itu Quinidine?
Quinidine tergolong di dalam kumpulan ubat jenis antiarrhythmia Kelas 1A. Ia merencatkan kemasukan ion sodium ke dalam otot jantung melalui pam sodium (Na). Apabila denyutan jantung menjadi laju, quinidine akan meningkatkan kesan rencatannya ke atas pam sodium dan apabila denyutan jantung menjadi perlahan kesan sebaliknya akan berlaku.
Quinidine digunakan untuk merawat masalah denyutan jantung tak teratur (arrhythmia). Ia juga digunakan untuk merawat jangkitan demam malaria.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Quinidine?
Anda tidak boleh menggunakan quinidine sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit jantung jenis AV block melainkan jantung anda telah dipasang pacemaker
- myasthenia gravis
- sejarah pembentukan lebam pada kulit atau mengalami perdarahan yang luar biasa seperti hidung berdarah semasa mengambil ubat ini
Untuk memastikan pengambilan Quinidine adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung jenis sick sinus syndrome
- denyutan jantung perlahan (kurang daripada 60 denyutan per minit)
- lemah jantung
- penyakit injap jantung
- long QT syndrome
- sindrom Marfan
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- ketidakseimbangan elektrolit di dalam darah seperti paras magnesium dan potasium yang rendah
Pengambilan Quinidine semasa mengandung
Tidak banyak kajian telah dijalankan mengenai pengambilan quinidine oleh wanita hamil dan kesannya ke atas bayi masih kurang jelas. Oleh itu, quinidine hanya digunakan sekiranya terdesak untuk rawatan arrhythmia sahaja dan dosnya biasanya dikurangkan. Ia tidak boleh digunakan untuk merawat penyakit malaria semasa kehamilan.
Pengambilan Quinidine semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan bahawa quinidine boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan kuantitinya tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan dianggap selamat. Namun, pengambilannya haruslah dipantau dengan teliti oleh doktor.
Quinidine tidak boleh diambil sekiranya bayi yang menyusu badan menghidap penyakit G6PD deficiency.
Cara pengambilan Quinidine
Ambil quinidine seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Quinidine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Quinidine juga boleh diambil secara suntikan ke dalam urat darah vena. Kaedah suntikan biasanya dilakukan sekiranya pesakit mempunyai masalah untuk menelan ubat.
Anda tidak digalakkan untuk menghancurkan tablet quinidine sebelum menelannya kerana ia boleh melemahkan kesan ubat. Namun, anda boleh memecahkan ubat tersebut kepada separuh sekiranya dos yang perlu anda ambil adalah separuh daripada dos ubat.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Quinidine
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda denyutan jantung tidak teratur seperti jantung berdebar, kesukaran bernafas, pening kepala dan rasa desiran pada dada
- muntah dan cirit-birit
- hilang deria pendengaran, telinga berdesing
- penglihatan kabur, mata merah dan mata menjadi sensitif kepada cahaya
- kulit lebam dan berlaku perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tanda-tanda demam selsema seperti sakit tekak, demam dan pembengkakan kelenjar pada bahagian leher
- kesakitan pada bahagian otot dan sendi badan
- mulut mudah berasa kering dan kesukaran untuk menelan
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- pening kepala
- sakit dada dan jantung berdebar
- pedih ulu hati, loya, muntah dan cirit-birit
- kelesuan pada seluruh badan
- kulit menjadi merah, rasa kepanasan dan kesemutan secara tiba-tiba
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Quinidine
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan quinidine dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- disopyramide
- saquinavir
- mifepristone
- levoketoconazole
- hydroxychloroquine
- sotalol
- thioridazine
- anagrelide
- fingolimod
- domperidone
- pimozide
- dronedarone
- aliskiren
- droperidol
- levomethadyl
- bepridil
- ziprasidone
- sertindole
- artemether-lumefantrine
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.