Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Ramipril | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Ra Ri Ru

Ramipril | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Ramipril?

Ramipril adalah ubat yang tergolong di dalam kumpulan angiotensin converting enzyme inhibitor (ACE inhibitor). Ia bertindak dengan merencatkan tindakan angiotensin-converting enzyme yang menukarkan angiotensin I iaitu sejenis hormon tak aktif kepada bentuk aktif iaitu angiotensin II. Angiotensin II memainkan peranan penting dalam sistem renin-angiotensin-aldosterone yang mengawal tekanan darah, penyerapan air dan elektrolit sodium dan potassium di dalam sistem ginjal.

Ramipril digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi dan lemah jantung. Ia juga digunakan untuk menghindari komplikasi tekanan darah tinggi seperti angin ahmar, serangan jantung akut dan kerosakan buah pinggang.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Ramipril?

Anda tidak boleh menggunakan ramipril sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan ACE inhibitor yang lain seperti captopril, enalapril dan lisinopril
  • sedang mengambil ubat sacubatril
  • pernah mengalami angioedema atau gegata
  • menghidap penyakit penyempitan salur darah arteri pada buah pinggang (renal artery stenosis)

Untuk memastikan pengambilan ramipril adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit buah pinggang 
  • penyakit hati
  • penyakit connective tissue disease seperti sindrom Marfan, sindrom Sjogren, lupus, scleroderma dan rheumatoid arthritis
  • sedang menggunakan ubat telmisartan (Micardis)

Pengambilan ramipril semasa kehamilan

Ramipril boleh merosakkan buah pinggang bayi sekiranya diambil oleh wanita hamil terutama pada waktu trimester kedua dan ketiga kehamilan. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak digalakkan.

Pengambilan ramipril semasa penyusuan badan

Ramipril boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Namun terdapat kes terpencil yang ia boleh menyebabkan tekanan darah bayi menjadi rendah. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan hanya disyorkan sekiranya keadaan terdesak.

Cara pengambilan Ramipril

Ambil ramipril seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Ramipril boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. 

Anda tidak boleh mengambil ramipril dalam tempoh 36 jam sebelum atau selepas mengambil ubat sacubatril kerana interaksi kedua-dua ubat boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang, tekanan darah rendah dan paras elektrolit kalium meningkat.

Sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis, anda tidak boleh mengambil ramipril secara serentak dengan ubat aliskiren seperti Tekturna dan Tekamlo kerana interaksi kedua-dua ubat boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang, tekanan darah rendah dan paras elektrolit kalium meningkat.

Sepanjang tempoh pengambilan ramipril, tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengawasi kesan sampingan ubat pada organ-organ penting seperti hati dan buah pinggang.

Jangan hentikan pengambilan ramipril tanpa mendapat nasihat doktor walaupun anda mendapati penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Ramipril

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • pening kepala atau rasa hendak pitam
  • jaundis (kekuningan pada bahagian mata dan kulit)
  • kencing tak lawas
  • tanda-tanda demam selsema seperti demam menggigil, sakit tekak dan selsema
  • tanda-tanda paras potasium darah menjadi tinggi seperti loya, kelesuan pada seluruh badan, rasa kebas pada bahagian tangan dan kaki, sakit dada dan jantung berdebar

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • sakit kepala
  • pening kepala 
  • kelesuan pada seluruh badan
  • batuk kering

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Ramipril

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ramipril dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • aliskiren
  • sacubatril
  • telmisartan
  • lithium
  • ubat angiotensin receptor blocker (ARB) seperti losartan dan valsartan
  • pil perancang keluarga

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar