Apa itu Ranitidine?
Ranitidine tergolong di dalam kumpulan ubat jenis histamine-2 blocker. Ia bertindak merencatkan gabungan histamine dengan reseptor histamin (H2 reseptor) yang terletak pada sel parietal dinding mukosa perut. Tindak balas ini akan merencatkan rembesan asid perut secara berlebihan.
Ranitidine digunakan untuk merawat masalah ulser perut dan usus, sindrom Zollinger-Ellison dan penyakit reflux asid gastroesofagus (gastroesophageal reflux disease).
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Ranitidine?
Anda tidak boleh menggunakan ranitidine sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan histamine-2 blockers seperti cimetidine
- sejarah penyakit jangkitan paru-paru pneumonia kerana pengambilannya boleh menambahkan risiko untuk menghidapnya
- sakit dada yang tidak diperiksa dengan betul kerana penyakit reflux asid gastroesofagus boleh menyerupai serangan jantung
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- porphyria
Pengambilan Ranitidine semasa kehamilan
Kajian telah menunjukkan pengambilan ranitidine oleh wanita hamil tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk digunakan semasa kehamilan.
Pengambilan semasa penyusuan badan
Pengambilan ranitidine semasa penyusuan badan tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil oleh wanita yang menyusu badan.
Namun, ia boleh meningkatkan paras hormon prolaktin di dalam darah dan ini boleh mengakibatkan susu badan menjadi kurang dalam kes-kes yang terpencil. Oleh itu, pengambilannya disyorkan untuk jangka pendek bagi wanita yang baru hendak memulakan penyusuan badan.
Cara pengambilan Ranitidine
Ambil ranitidine seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Ranitidine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Bagi rawatan reflux asid gastroesofagus, pengambilannya disyorkan 30 minit sebelum makan.
Ranitidine juga boleh diambil dalam bentuk suntikan secara intramuscular atau intravenous untuk mendapat kesan kelegaan yang lebih cepat atau bagi pesakit yang menghadapi masalah untuk menelan kerana sakit dan bengkak tekak.
Pengambilan ranitidine juga mungkin boleh digabungkan dengan ubat-ubatan lain. Oleh itu, pastikan anda mengambil ubat-ubatan tersebut seperti yang telah diarahkan oleh doktor.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Ranitidine
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- sakit perut dan hilang selera makan
- denyutan jantung yang lemah atau cepat
- tanda-tanda jangkitan paru-paru seperti demam menggigil, sesak nafas, sakit dada dan batuk berkahak
- pembentukan lebam pada kulit atau mengalami perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- keguguran rambut
- pembesaran payu dara lelaki
- halusinasi dan mudah berasa keliru
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya, muntah dan sakit perut
- cirit-birit atau sembelit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Ranitidine
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ranitidine dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- amiodarone
- antacids seperti magnesium hydroxide dan calcium carbonate
- antifungus seperti itraconazole, ketoconazole dan posaconazole
- cefuroxime
- clavulanic acid
- cyclosporine
- delavirdine
- dexmethylphenidate
- diltiazem
- dronedarone
- fluvastatin
- glyburide
- HIV protease inhibitors seperti darunavir, indinavir, lopinavir, saquinavir dan tipranavir
- hematinik seperti ferrous fumarate, ferrous gluconate dan ferrous sulfate
- ledipasvir
- lumacaftor
- mesalamine
- metformin
- methylphenidate
- midazolam
- pentoxifylline
- prasugrel
- procainamide
- protein kinase inhibitor seperti bosutinib, dabrafenib, dasatinib, nilotinib dan pazopanib
- quinidine
- quinine
- rilpivirine
- risedronate
- St. John’s wort
- sucralfate
- tacrolimus
- varenicline
- velpatasvir
- verapamil
- warfarin
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.