Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Rifampicin | Kesan sampingan & Pengambilan semasa hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Ra Ri Ru

Rifampicin | Kesan sampingan & Pengambilan semasa hamil

by admin
0 comments

Apa itu Rifampicin?

Rifampicin adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan antibiotik jenis ansamycin. Ia merencatkan sintesis RNA dengan bergabung pada enzim DNA-dependent RNA polymerase yang terletak pada sel bakteria. Tindak balas ini akan mengakibatkan kematian sel bakteria.

Rifampicin digunakan untuk merawat jangkitan tuberculosis, brucellosis dan legionnaires.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Rifampicin?

Anda tidak boleh menggunakan rifampicin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan yang serupa dengannya seperti rifabutin, rifapentine, rifamycin dan rifaximin
  • kencing manis
  • porphyria
  • hemolytic uremic syndrome
  • paras Vitamin K rendah dalam darah yang mengakibatkan darah cair
  • ketagihan minuman beralkohol
  • thrombotic thrombocytopenic purpura
  • penyakit hati

Pengambilan rifampicin semasa kehamilan

Kajian menunjukkan pengambilan rifampicin oleh wanita hamil tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk digunakan semasa mengandung.

Namun, terdapat segelintir kes yang mengakibatkan perdarahan yang luar biasa pada wanita hamil dan bayi sekiranya rifampicin diambil pada hujung trimester ketiga kehamilan. Oleh itu, bagi mengelakkan ianya berlaku, suntikan Vitamin K akan diberikan kepada wanita dan bayi selepas bersalin.

Pengambilan rifampicin semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan bahawa rifampicin meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa penyusuan badan.

Cara pengambilan rifampicin

Ambil rifampicin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Pengambilan rifampicin adalah 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan. Telan ubat dengan segelas penuh air.

Elakkan membuka kapsul ubat untuk menelan serbuk yang berada di dalamnya kerana cara pengambilan sebegini tidak dapat memberi kesan yang optimum.

Pastikan anda menghabiskan ubat anda dalam tempoh yang telah ditetapkan walaupun simptom penyakit anda telah sembuh bagi mengelak saki-baki bakteria daripada menjadi kebal kepada ubat ini.

Anda perlu menjalani ujian darah secara berkala semasa pengambilan ubat ini bagi memantau kehadiran kesan sampingan ubat pada organ-organ penting seperti buah pinggang dan hati.

Pengambilan rifampicin boleh mengganggu keputusan ujian air kencing. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sebelum menjalani ujian air kencing bagi mengelak keputusan yang tidak tepat.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan rifampicin

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • sakit perut dan cirit-birit yang serius
  • sakit dada, sesak nafas dan batuk
  • pening kepala atau rasa hendak pitam
  • jantung berdebar 
  • perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
  • tanda-tanda demam selsema seperti demam menggigil, sakit kepala, bisa badan, keletihan, loya dan muntah
  • tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • perubahan warna merah pada gigi, air liur, peluh, air mata dan air kencing
  • pedih ulu hati, perut kembung dan hilang selera makan
  • loya, muntah dan cirit-birit
  • demam
  • sakit atau pening kepala dan rasa mengantuk
  • kelesuan otot-otot badan dan bisa sendi
  • rasa kebas pada bahagian kaki dan tangan
  • perubahan pada tingkah laku seperti mudah berasa keliru dan kesukaran untuk menumpukan perhatian

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Rifampicin

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan rifampicin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat cair darah jenis warfarin
  • pil perancang keluarga
  • digitoxin
  • quinidine
  • methadone
  • barbiturate
  • ubat kencing manis seperti gliclazine dan metformin
  • HIV protease inhibitor seperti atazanavir dan darunavir

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar