Apa itu Salbutamol?
Salbutamol tergolong di dalam kumpulan ubat jenis short-acting beta-2 adrenergic agonist. Ia bertindak pada reseptor beta-2 adrenergik untuk mengendurkan otot yang terletak pada dinding saluran bronkial paru-paru. Tindak balas ini akan mengakibatkan dinding saluran pernafasan mengembang lalu melegakan sesak nafas. Salbutamol juga boleh bertindak pada reseptor beta-2 adrenergik dinding rahim untuk melegakan kontraksi otot rahim.
Salbutamol digunakan untuk melegakan sesak nafas yang disebabkan oleh penyakit lelah dan chronic obstructive pulmonary disease (COPD). Ia juga digunakan untuk melegakan kontraksi awal rahim semasa kehamilan.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Salbutamol?
Anda tidak boleh menggunakan salbutamol sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- hipertiroid (hyperthyroidism)
- ketoasidosis
- kandungan asid yang tinggi di dalam badan
- kandungan elektrolit potasium yang rendah di dalam darah
- tekanan darah tinggi
- penyakit koronari arteri
- penyakit long QT sindrome
- denyutan jantung yang tidak teratur
- sawan
Pengambilan salbutamol semasa kehamilan
Kajian telah membuktikan pengambilan salbutamol oleh wanita hamil tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat digunakan semasa mengandung.
Pengambilan semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan pengambilan salbutamol semasa penyusuan badan tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk digunakan semasa penyusuan badan.
Cara pengambilan Salbutamol
Ambil salbutamol seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Salbutamol boleh diperolehi dalam bentuk tablet, sirup, suntikan dan inhaler. Bagi ubat yang berbentuk tablet dan sirup, ia boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Suntikan salbutamol diberikan melalui salur darah vena (intravenous) bagi pesakit tenat yang memerlukan kesan kelegaan yang cepat.
Salbutamol inhaler digunakan untuk merawat serangan akut lelah dan chronic obstructive pulmonary disease. Oleh itu, sekiranya simptom anda tidak lega selepas penggunaannya, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Bilas mulut anda dengan air selepas menggunakan salbutamol inhaler untuk mencegah pembentukan oral thrush (jangkitan kulat di dalam mulut dan tekak). Jika anda menggunakan inhaler dengan corong hidung (aerochamber), basuh corong tersebut dengan bersih selepas anda menggunakannya. Namun oral thrush jarang berlaku semasa penggunaan salbutamol inhaler.
Jangan hancurkan atau kunyah ubat tablet sebelum menelannya kerana ia tidak akan memberi kesan yang optimum.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan salbutamol
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan salbutamol adalah:
- tangan menggeletar
- jantung berdebar
- kekejangan otot kaki dan tangan
- penurunan paras elektrolit potasium di dalam darah
- insomnia
- sakit kepala
- sakit tekak atau tekak berasa kering
- sakit dada (jarang berlaku)
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Salbutamol
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan salbutamol dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- amiodarone
- amphetamines seperti dextroamphetamine dan lisdexamfetamine
- atomoxetine
- ubat anti-psikotik seperti chlorpromazine, clozapine, haloperidol, olanzapine, quetiapine dan risperidone
- ubat kumpulan beta-blocker seperti carvedilol, propranolol, labetolol, nadolol dan sotalol
- betahistine
- caffeine
- cannabis
- ubat diuretik seperti hydrochlorothiazide dan furosemide
- chloroquine
- phenylephrine
- pseudoephedrine
- ubat titis mata dan nasal spray seperti naphazoline, oxymetazoline dan xylometazoline
- degarelix
- digoxin
- dipivefrin
- disopyramide
- dofetilide
- domperidone
- dronedarone
- efavirenz
- epinephrine
- fast acting bronchodilator seperti salbutamol dan terbutaline
- flecainide
- linezolid
- long acting bronchodilators seperti formoterol dan salmeterol
- antibiotik kumpulan macrolide seperti clarithromycin dan erythromycin
- methadone
- methylphenidate
- mifepristone
- monoamine oxidase inhibitor seperti phenelzine, tranylcypromine, moclobemide dan selegiline
- nabilone
- primaquine
- procainamide
- protein kinase inhibitor seperti lapatinib, pazopanib dan sunitinib
- quinidine
- quinine
- antibiotik kumpulan quinolone seperti ciprofloxacin dan ofloxacin
- rilpivirine
- saquinavir
- selective serotonin reuptake inhibitor (SSRI) seperti citalopram, fluoxetine dan sertraline
- serotonin antagonist seperti dolasetron, granisetron dan ondansetron
- tetrabenazine
- theophylline seperti aminophylline, oxtriphylline dan theophylline
- trazodone
- tricyclic antidepressant seperti amitriptyline, desipramine dan nortriptyline
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.