Apa itu Simvastatin?
Simvastatin tergolong di dalam kumpulan ubat jenis statin. Ia bertindak dengan merencatkan tindakan enzim HMG-CoA reductase yang terletak paling banyak pada organ hati. Oleh itu, penghasilan kolesterol dan trigliserida dapat dikurangkan.
Simvastatin digunakan untuk merawat penyakit hiperlipidemia dan hipertrigliserida. Ia membantu menurunkan paras LDL-cholesterol (kolesterol jahat) dan trigliserida (lemak) di dalam darah. Ia juga membantu untuk meningkatkan paras HDL-cholesterol (kolesterol baik) di dalam darah.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Simvastatin?
Anda tidak boleh menggunakan simvastatin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit hati
- kehamilan
Pengambilan simvastatin harus dipantau dengan teliti oleh doktor bagi pesakit yang menghidap masalah-masalah berikut:
- penyakit buah pinggang
- tekanan darah rendah
- jangkitan kuman akut
- rhabdomyolysis
- ketidakseimbangan paras elektrolit di dalam darah
- hipotiroid (hypothyroidism)
- myopathy
- sawan
- selepas menjalani pembedahan major
- ketagihan minuman beralkohol
Pengambilan simvastatin semasa kehamilan
Pengambilan simvastatin semasa kehamilan boleh menyebabkan kecacatan pada tumbesaran bayi. Oleh itu, ia tidak boleh diambil semasa kehamilan.
Pengambilan simvastatin semasa penyusuan badan
Simvastatin boleh meresap ke dalam susu badan dan mengakibatkan kecelaruan pada metabolisme lemak bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan Simvastatin
Ambil simvastatin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Simvastatin biasanya diambil sewaktu hendak tidur malam. Sekiranya anda mudah mengalami perut kembung pada waktu malam, anda boleh mengambilnya semasa makan malam.
Jangan hancurkan atau kunyah tablet ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan sebegini tidak akan memberikan kesan yang optimum.
Anda perlu menjalani ujian darah secara berkala semasa pengambilan simvastatin bagi memantau keberkesanan rawatan dan kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.
Pengambilan simvastatin biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan senaman rutin. Ikut segala program yang telah dirancang oleh doktor dengan betul.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan simvastatin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas dan bengkak pada kedua-dua belah kaki
- kelesuan dan kesakitan pada otot-otot bahu, peha, leher dan pinggang
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan simvastatin adalah:
- sakit kepala
- sakit perut, loya dan sembelit
- selsema atau hidung tersumbat
- sakit tekak
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Simvastatin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan simvastatin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat cair darah seperti warfarin, cyclosporine, danazol, daptomycin dan gemfibrozil
- ubat antifungus seperti itraconazole, ketoconazole, posaconazole dan voriconazole
- cobicistat
- colchicine
- antibiotik kumpulan macrolide seperti clarithromycin dan erythromycin
- nefazodone
- HIV protease inhibitor seperti nelfinavir dan ritonavir
- telithromycin
Oleh itu, anda mesti memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.