Apa itu Somatropin?
Somatropin adalah sejenis hormon pertumbuhan sintetik yang bertindak menyerupai human growth hormone (HGH) yang dihasilkan secara semulajadi oleh kelenjar pituitari yang terletak pada bahagian otak manusia.
Jenama somatropin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Genotropin GoQuick, Norditropin NordiFlex dan Saizen.
Kegunaan somatropin
Somatropin digunakan untuk merawat masalah kekurangan human growth hormone (HGH) yang berlaku terutama pada kanak-kanak yang menghidap penyakit sindrom Noonan, sindrom Turner dan sindrom Prader-Willi. Kekurangan human growth hormone (HGH) akan merencatkan perkembangan kanak-kanak tersebut dari aspek fizikal dan mental.
Pengambilan somatropin dapat membantu memulihkan proses tumbesaran kanak-kanak tersebut. Antara kesan somatropin pada tumbesaran kanak-kanak ialah:
- Merangsangkan tumbesaran dan kepadatan tulang
- Merangsang perkembangan dan penguatan otot
- Mengurangkan pembentukan lemak dan kenaikan berat badan
- Membantu kanak-kanak mencapai akil baligh pada umur yang sepatutnya
- Merangsang tumbesaran ciri-ciri seks sekunder pada kanak-kanak pada umur yang sepatutnya
Somatropin juga digunakan untuk merawat penyusutan berat badan yang mendadak pada orang dewasa yang menghidap penyakit AIDS dan short bowel syndrome.
Apa yang perlu pesakit tahu sebelum menggunakan somatropin?
Pesakit tidak boleh menggunakan somatropin sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit kanser yang masih aktif
- masalah tumbesaran pada bahagian epifisis tulang
- penyakit retinopati yang disebabkan oleh penyakit kencing manis
- penyakit apnea tidur yang disebabkan oleh masalah berat badan yang melampau atau bengkak pada bahagian leher
Oleh itu, pastikan anda berbincang dengan doktor dan memberitahu doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- alahan ubat
- penyakit kanser yang belum atau masih dalam rawatan
- penyakit kencing manis
- penyakit kelenjar tiroid
- penyakit kongenital pada kelenjar pituitari
- pernah mengalami kecederaan otak
- masalah pernafasan dan tidur berdengkur
- masalah pada tumbesaran tulang seperti skoliosis dan kyphosis
Cara pengambilan somatropin
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Somatropin diambil dengan cara suntikan subkutaneous (suntikan ke dalam lapisan bawah kulit). Anda akan diajar oleh doktor atau jururawat mengenai cara melakukan suntikan jenis subkutaneous secara sendiri.
Cara melakukan suntikan subkutaneous:
- Bersihkan bahagian kulit yang hendak disuntik dengan menggunakan swab alkohol.
- Buka penutup jarum dan halakan jarum ke arah bahagian kulit yang hendak disuntik dalam kedudukan sudut 45 darjah atau 90 darjah.
- Picit bahagian sisi kulit tersebut supaya bahagian lapisan lemak di bawah kulit menjadi tebal. Jangan sentuh bahagian kulit yang hendak disuntik.
- Cucuk jarum secara terus ke bahagian tersebut. Apabila jarum telah berada di dalam kulit, tekan bahagian plunger picagari untuk memasukkan ubat ke dalam badan.
- Apabila semua ubat telah dimasukkan, keluarkan jarum dan lepaskan bahagian kulit yang dipicit. Tekan bahagian kulit yang disuntik dengan kapas selama lebih kurang 1/2 minit sebelum menutupnya dengan plaster.
- Pastikan anda menggunakan bahagian kulit yang berbeza-beza untuk setiap suntikan. Bahagian yang biasa digunakan adalah:
- lapisan depan abdomen di sekeliling bahagian pusat
- bahagian depan betis
- bahagian luar yang berlemak pada lengan atas
- bahagian atas sisi luar betis
Sediakan somatropin hanya apabila tiba masa untuk pemberian ubat. Jangan keluarkan ubat ini daripada peti sejuk tanpa sebab yang munasabah. Simpan ubat ini dalam peti sejuk pada suhu 2°C ke 8°C. Jangan bekukan ubat ini. Cara penyimpanan ubat yang betul adalah penting bagi mengelaknya daripada menjadi rosak.
Pastikan anda memeriksa warna dan kehadiran keladak pada vial ubat sebelum menggunakannya. Sekiranya ia berlaku, pulangkan ubat tersebut kepada pihak farmasi untuk digantikan dengan yang baru.
Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada darah dan organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.
Kesan sampingan somatropin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan yang serius iaitu:
- sakit pada bahagian lutut atau pinggul yang menyebabkan anda berjalan terhencot-hencot
- sakit, bengkak, rasa panas dan berair pada bahagian telinga
- kebas atau kesemutan pada bahagian tangan atau kaki
- bengkak yang teruk pada bahagian tangan dan kaki
- perubahan pada tingkah laku
- penglihatan kabur
- sakit kepala yang luar biasa
- perubahan pada bentuk dan saiz tahi lalat
- sakit atau bengkak pada bahagian sendi
- tanda-tanda penyakit pankreatitis seperti sakit yang teruk pada bahagian atas perut yang merebak ke belakang dan disertai dengan rasa loya dan muntah
- tanda-tanda paras gula darah tinggi (hiperglisemia) seperti rasa dahaga, kerap kencing, mulut dan tekak berasa kering dan nafas berbau buah-buahan
- tanda-tanda peningkatan tekanan pada bahagian dalam tengkorak seperti sakit kepala yang teruk, telinga berdengung, pening, loya, penglihatan kabur dan sakit pada bahagian belakang mata
- tanda-tanda masalah kelenjar adrenal seperti rasa lesu yang teruk, pening yang teruk, penurunan berat badan dan perubahan pada warna kulit
Namun kesan sampingan somatropin yang biasa berlaku adalah:
- rasa sakit atau gatal dan perubahan pada warna kulit yang menerima suntikan
- bengkak pada bahagian kaki
- peningkatan berat badan yang mendadak
- sakit otot atau sendi
- kebas atau kesemutan pada bahagian jari tangan atau kaki
- sakit perut dan perut kembung
- sakit kepala
- simptom-simptom demam selsema seperti hidung tersumbat, bersin, sakit tekak dan sakit telinga
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan somatropin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan somatropin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan: