Apa itu Telmisartan?
Telmisartan berasal daripada kumpulan ubat jenis angiotensin receptor blocker (ARB). Ia bertindak dengan merencatkan hormon angiotensin II daripada bergabung dengan angiotensin II AT1 receptor yang terletak pada otot-otot salur darah dan kelenjar adrenal. Oleh itu, tidakbalas angiotensin II yang boleh mengakibatkan pengecutan salur darah dan rangsangan terhadap rembesan hormon aldosterone dapat direncatkan.
Telmisaran digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi. Ia juga digunakan untuk mengurangkan risiko komplikasi serangan jantung, angin ahmar dan kematian bagi pesakit yang berumur 55 tahun ke atas yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Telmisartan?
Anda tidak boleh mengambil telmisartan sekiranya anda mempunyai sejarah alahan semasa pengambilannya.
Telmisartan juga tidak boleh diambil secara serentak dengan ubat aliskiren sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang.
Untuk memastikan pengambilan telmisartan adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung
- penyakit kegagalan fungsi hati
- penyakit buah pinggang
- sedang mengamalkan diet rendah sodium
Pengambilan telmisartan semasa kehamilan
Telmisartan boleh mengakibatkan kematian bayi sekiranya ianya diambil semasa trimester ketiga kehamilan. Oleh itu, pengambilannya semasa mengandung tidak disyorkan.
Pengambilan telmisartan semasa penyusuan badan
Tiada kajian pengambilan telmisartan semasa penyusuan badan yang telah dilakukan. Disebabkan tiada data untuk mengesahkan bahawa ia selamat kepada bayi, maka pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan telmisartan
Ambil telmisartan seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Telmisartan boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pengambilannya harus dalam waktu yang sama tiap-tiap hari.
Sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis atau buah pinggang, telmisartan tidak boleh diambil dalam tempoh 36 jam sebelum atau selepas pengambilan ubat aliskiren kerana ia boleh mengakibatkan tekanan darah rendah, kerosakan buah pinggang dan kenaikan paras elektrolit kalium di dalam darah.
Pengambilan telmisartan biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan senaman rutin. Oleh itu, ikut program yang telah dirancang oleh doktor anda dengan betul.
Jangan berhenti mengambil ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapat nasihat doktor walaupun penyakit anda berada dalam keadaan terkawal kerana ia boleh meningkatkan risiko komplikasi darah tinggi seperti serangan jantung dan angin ahmar.
Sepanjang tempoh pengambilan telmisartan, anda perlu menjalani pemeriksaan tekanan darah, ujian darah dan air kencing secara rutin bagi memantau keberkesanan rawatan dan kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan telmisartan
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- pening kepala atau rasa hendak pitam
- kencing tak lawas
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti bengkak pada kedua-dua belah kaki dan kenaikan berat badan secara mendadak
- otot-otot dan sendi kaki berasa tegang dan sakit
- pembentukan ulser pada bahagian kulit
- tanda-tanda paras elektrolit potasium tinggi di dalam darah seperti rasa loya, kesemutan dan kebas pada bahagian hujung tangan dan kaki, sakit dada dan jantung berdebar
Walau bagaimanapun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- hidung tersumbat
- cirit-birit
- sakit pinggang
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Telmisartan
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan telmisartan dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- aliskiren
- lithium
- ubat kumpulan ACE inhibitors seperti ramipril
- pil perancang keluarga yang mengandungi drospirenone
Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.