Apa itu Tetracycline?
Tetracycline adalah sejenis antibiotik yang bertindak dengan cara merencatkan sistesis protein pada sel bakteria lalu menghalang tumbesaran dan pembiakan bakteria di dalam badan. Ia sesuai untuk membunuh bakteria jenis gram-positive, gram-negative dan atypical seperti chlamydiae, mycoplasma dan rickettsiae. Ia juga berkesan untuk membunuh parasit jenis protozoa.
Tetracycline digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada saluran pernafasan, usus, saluran kencing, alat kelamin dan kelenjar limfa. Ia juga digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh amalan seks bebas seperti syphilis, gonorrhea dan chlamydia.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Tetracycline?
Anda tidak boleh mengambil tetracycline sekiranya anda mempunyai sejarah alahan kepadanya atau ubat-ubatan lain daripada kumpulan tetracycline seperti demeclocycline, doxycycline, minocycline dan tigecycline.
Tetracycline tidak boleh digunakan oleh kanak-kanak yang berumur di bawah 8 tahun.
Untuk memastikan pengambilan tetracycline adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang
- lupus
- sedang mengambil ubat jenis methotrexate
- kulit yang sensitif kepada cahaya
Pengambilan tetracycline semasa kehamilan
Pengambilan tetracycline semasa kehamilan boleh mengakibatkan kerosakan gigi dan mengganggu tumbesaran tulang bayi. Pengambilannya sewaktu trimester ketiga kehamilan boleh mengakibatkan perubahan warna pada gigi bayi secara kekal selepas kelahiran. Oleh itu, pengambilannya semasa mengandung tidak disyorkan.
Pengambilan tetracycline semasa penyusuan badan
Tetracycline boleh meresap ke dalam susu badan dan mengakibatkan perubahan warna pada gigi bayi secara kekal. Ia juga boleh membantutkan tumbesaran gigi dan tulang. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan tetracycline
Pengambilan tetracycline harus mengikut dos yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Tetracycline boleh diambil 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan.
Elakkan pengambilan tetracycline bersama susu kerana ia boleh mengganggu penyerapannya pada usus kecuali sekiranya ia diarahkan oleh doktor.
Pastikan anda menghabiskan tetracycline walaupun simptom anda telah pulih bagi mengelak saki-baki bakteria daripada menjadi kebal kepada ubat ini pada masa akan datang.
Sekiranya tetracycline diambil dalam bentuk sirup, pastikan anda menggoncang botol ubat sebelum menyukat dos yang perlu diambil. Gunakan sudu penyukat ubat atau picagari ubat yang telah dibekalkan oleh pihak farmasi.
Anda mungkin perlu menjalani ujian darah secara berkala semasa mengambil ubat ini bagi memantau keberkesanan rawatan dan kesan sampingan ubat terhadap organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan tetracycline
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda demam selsema seperti demam menggigil, bisa badan dan sakit tekak
- pembentukan ruam merah yang melepuh dan mengelupas pada kulit
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
Walau bagaimanapun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya, muntah, cirit-birit dan perut kembung
- kegatalan pada anus dan alat kelamin
- pembentukan cecair pada kemaluan wanita
- lidah membengkak dan menjadi hitam
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Tetracycline
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan tetracycline dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- antacid yang mengandungi magnesium, aluminium, kalsium dan sodium bicarbonate
- suplemen kalsium
- vitamin yang mengandungi zinc dan zat besi
- ubat lembut najis (laxative) yang mengandungi magnesium
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.