Apa itu Tramadol?
Tramadol tergolong di dalam kumpulan ubat jenis opioid. Ia bertindak menghalang pengambilan semula neurotransmitter semulajadi yang berada di dalam badan iaitu norepinephrine (noradrenaline) dan serotonin serta bergabung secara lemah kepada reseptor μ-opioid yang terletak pada sistem saraf lalu mengakibatkan rencatan terhadap penghantaran isyarat sakit kepada otak.
Tramadol digunakan untuk melegakan kesakitan yang sederhana dan ekstrim seperti kesakitan selepas pembedahan, kecederaan dan keradangan.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Tramadol?
Tramadol tidak sesuai diambil oleh golongan pesakit berikut:
- pernah mempunyai sejarah alahan semasa pengambilannya
- pernah mempunyai atau sedang mengalami masalah ketagihan dadah
- mempunyai tingkah laku atau perasaan untuk membunuh diri
- masalah ketagihan minuman beralkohol
- masalah pernafasan
- penyakit usus tersumbat
Terdapat laporan kejadian sawan pada pesakit yang mengambil tramadol dalam dos yang tinggi. Oleh itu, pastikan tramadol diambil pada dos yang telah ditetapkan oleh doktor. Selain itu, bagi pesakit yang menghidap penyakit sawan, penggunaan tramadol harus dipantau dengan teliti.
Elakkan pengambilan tramadol dalam dos yang tinggi dan untuk jangka panjang kerana ia boleh mengakibatkan sesak nafas dan sembelit yang teruk.
Tramadol juga tidak sesuai diambil oleh pesakit yang berumur di bawah 12 tahun.
Pengambilan tramadol semasa kehamilan
Tramadol selamat untuk diambil semasa kehamilan kerana ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada bayi. Namun terdapat segelintir kes pengambilannya pada hujung trimester ketiga kehamilan yang boleh mengakibatkan sesak nafas dan masalah untuk menelan susu badan pada bayi yang baru dilahirkan. Oleh itu, pengambilannya semasa hujung trimester ketiga kehamilan tidak disyorkan kecuali terdesak. Sekiranya tramadol diambil pada hujung kehamilan, bayi yang baru dilahirkan harus dipantau dengan teliti dalam tempoh 24 – 72 jam.
Pengambilan tramadol semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan tramadol boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa penyusuan badan. Namun pengambilannya harus pada dos rendah dan untuk jangka pendek kerana terdapat 1 kes kematian bayi berumur 8 bulan yang disebabkan oleh wanita yang mengambil tramadol dalam dos yang tinggi dan jangka yang panjang.
Cara pengambilan tramadol
Ambil tramadol seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Tramadol boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan.
Jangan membuka kapsul ubat dan menelan serbuk yang terkandung di dalamnya kerana cara pengambilan begitu tidak akan memberi kesan yang optimum. Begitu juga bagi tramadol yang berbentuk tablet, jangan menghancurkan atau menguyah ubat sebelum menelannya kerana pengambilan sebegitu juga tidak akan memberi kesan yang optimum.
Jangan kongsi ubat anda dengan individu yang mempunyai sejarah ketagihan dadah atau minuman beralkohol dan mereka yang mempunyai masalah mental.
Sekiranya anda sedang mengambil ubat ini untuk jangka panjang, jangan hentikan pengambilannya secara tiba-tiba tanpa mendapat nasihat doktor kerana anda boleh berisiko untuk menghidap simptom-simptom withdrawal seperti insomnia, rasa gelisah, mudah berpeluh secara ekstrim dan loya.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan tramadol
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- sesak nafas dan nafas berbunyi
- denyutan jantung dan nadi yang lemah
- pening kepala dan rasa hendak pitam
- sawan
- tanda-tanda paras hormon kortisol rendah seperti loya, muntah dan badan mengalami rasa kelesuan yang teruk
- tanda-tanda serotonin syndrome seperti mudah gelisah, berpeluh, tangan menggeletar, jantung berdebar, loya, muntah, halusinasi dan cirit-birit
Walau bagaimanapun kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan tramadol adalah:
- loya dan muntah
- sembelit
- pening atau sakit kepala
- rasa mengantuk
- sakit perut
- kegatalan pada kulit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Tramadol
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan tramadol dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat cair darah jenis warfarin
- bupropion
- fluoxetine (Prozac)
- paroxetine
- ketoconazole
- clarithromycin
- ritonavir
- phenytoin
- carbamazepine
- rifampin
- ubat kumpulan benzodiazepine seperti alprazolam (Xanax)
- ubat tidur seperti zolpidem
- ubat kumpulan barbiturate seperti phenobarbital
- ubat lembut otot seperti methocarbamol
- diphenhydramine (Benadryl)
- ubat kumpulan monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti selegiline
- ubat kumpulan tricyclic antidepressant (TCAs) seperti amitriptyline
- ubat kumpulan selective serotonin reuptake inhibitor (SSRI) seperti escitalopram
- ubat kumpulan serotonin-norepinephrine reuptake inhibitor (SNRI) seperti duloxetine
- ubat kumpulan triptan seperti sumatriptan
- naltrexone
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.