Apa itu Ubiquinone?
Ubiquinone atau Coenzyme Q10 adalah sejenis antioksidan yang membantu melindungi badan daripada tindak balas pengoksidaan yang disebabkan oleh radikal bebas. Tindak balas pengoksidaan boleh menyebabkan pembentukan atherosklerosis pada salur darah, penyakit tekanan darah tinggi, hiperlipidemia, obesiti, kencing manis, hati berlemak, sindrom metabolik dan kanser.
Ubiquinone biasanya dipasarkan sebagai produk makanan tambahan. Ia boleh diperolehi dalam bentuk kapsul dan soft gel.
Kegunaan ubiquinone
Sebagai antioksidan, ubiquinone dapat membantu untuk mengekalkan kesihatan badan dan melambatkan proses penuaan. Antara kebaikan-kebaikan ubiquinone adalah:
- Melindungi jantung
- ia mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit lemah jantung dengan menghidari pesakit daripada menghidap penyakit hipertensi dan koronari arteri tersumbat.
- Meningkatkan daya ingatan
- ia dapat melambatkan proses degeneratif sel-sel saraf yang boleh mengakibatkan penyakit Alzheimer dan Parkinson
- Meningkatkan kesuburan kaum lelaki
- ia dapat meningkatkan jumlah sperma dan keaktifan sperma
- Mengurangkan serangan sakit kepala migrain
Jenis-jenis makanan yang kaya dengan Ubiquinone
Makanan yang kaya dengan ubiquinone adalah:
- organ dalaman haiwan terutama hati
- ikan trout, makarel dan sardin
- daging seperti daging lembu, rusa dan ayam
- kacang soya
- sayur brokoli
- kekacang seperti pistachio dan kacang tanah dan chickenpea
- biji bijan
- keju
- mentega kacang
- biji lentil
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Ubiquinone?
Ubiquinone tidak sesuai diambil oleh mereka yang pernah mempunyai sejarah alahan semasa pengambilannya.
Pengambilannya juga harus mendapat nasihat doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung
- penyakit hati
- penyakit darah tinggi dan kencing manis
- sedang mengambil ubat cair darah jenis warfarin
Pengambilan ubiquinone semasa kehamilan
Tidak banyak kajian yang telah dilakukan mengenai pengambilan ubiquinone semasa kehamilan dan kesannya terhadap kesihatan bayi. Namun pengambilannya dianggap selamat kerana ia adalah makanan tambahan (suplemen). Sebaik-baiknya bincang dengan doktor anda sebelum mengambilnya.
Pengambilan ubiquinone semasa penyusuan badan
Tidak banyak kajian yang telah dilakukan mengenai pengambilan ubiquinone semasa penyusuan badan dan kesannya terhadap kesihatan bayi. Namun pengambilannya dianggap selamat kerana ia adalah makanan tambahan (suplemen). Sebaik-baiknya bincang dengan doktor anda sebelum mengambilnya.
Cara pengambilan ubiquinone
Ubiquinone biasanya diambil satu hari sekali atau dua kali mengikut dos supplemen.
Ubiquinone diambil selepas makan dan sebaik-baiknya diet tersebut mengandungi lemak untuk meningkatkan penyerapannya di usus.
Pastikan ubiquinone disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Ubiquinone
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan suplemen ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- loya, muntah, sakit perut dan hilang selera makan
- cirit-birit
- tekanan darah rendah
- perdarahan yang luar biasa seperti najis berdarah
- pembentukan lebam pada kulit
- perdarahan yang berpanjangan semasa kedatangan haid
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Ubiquinone
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ubiquinone dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- atorvastatin
- fluvastatin
- glyburide
- insulin
- lovastatin
- pitavastatin
- pravastatin
- rosuvastatin
- simvastatin
- tolazamide
- warfarin
Oleh itu, dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan pengambilannya sekiranya anda sedang menggunakan ubat-ubatan tersebut.