Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Unasyn | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Ub Un

Unasyn | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Unasyn?

Unasyn adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis beta-lactamase inhibitor. Ia mengandungi 2 jenis antibiotik iaitu ampicillin dan sulbactam. Ampicillin bertindak membunuh bakteria jenis beta-lactam manakala sulbactam rencatkan tindak balas enzim beta-lactamase yang boleh melemahkan kesan tindakan ampicillin.

Unasyn digunakan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria jenis Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Klebsiella spp, Proteus mirabilis, Bacteroides fragilis, Enterobacter spp dan Acinetobacter calcoaceticus.

Penyakit yang biasa dirawat dengan unasyn adalah jangkitan bakteria pada sistem peranakan, saluran kencing, abdomen, kulit, mata, pelvis, paru-paru, rongga sinus dan jantung.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Unasyn?

Anda tidak boleh mengambil Unasyn sekiranya anda pernah mempunyai sejarah alahan kepada ampicillin, sulbactam dan antibiotik lain yang tergolong di dalam kumpulan beta-lactam seperti penicillin dan cephalosporin.

Untuk memastikan pengambilan Unasyn adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit hati
  • penyakit mononucleosis
  • penyakit buah pinggang

Pengambilan Unasyn semasa kehamilan

Tiada kajian terperinci mengenai pengambilan Unasyn semasa kehamilan dan kesannya ke atas bayi masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilan Unasyn semasa kehamilan tidak disyorkan kecuali dalam keadaan terdesak.

Pengambilan Unasyn semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan Unasyn boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Terdapat kes terpencil yang Unasyn boleh mengakibatkan cirit-birit pada bayi. Oleh itu pengambilannya adalah selamat tetapi harus dipantau dengan teliti.

Cara pengambilan Unasyn

Ambil Unasyn seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Unasyn boleh diambil dalam keadaan 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan.

Unasyn boleh diperolehi dalam bentuk tablet atau suntikan. Jangan hancurkan atau kunyah ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan begitu tidak dapat memberi kesan yang optimum. Suntikan biasanya diberikan kepada pesakit yang mengalami jangkitan yang serius kerana ia dapat memberi kesan yang lebih cepat.

Jangan berhenti mengambil Unasyn secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor bagi mengelak bakteria daripada menjadi kebal kepada ubat pada masa akan datang.

Pengambilan Unasyn boleh mengganggu keputusan ujian glukosa pada air kencing. Oleh itu, maklumkan doktor sekiranya anda perlu menjalani pemeriksaan air kencing. 

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Unasyn

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • sakit perut dan cirit-birit
  • keputihan pada permukaan lidah (oral thrush)
  • tanda-tanda masalah jantung seperti jantung berdebar, sakit dada yang merebak ke rahang dan bahu, loya dan muntah
  • tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)

Walau bagaimanapun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • cirit-birit
  • pembentukan ruam pada kulit
  • kegatalan dan keputihan pada bahagian kelamin kaum wanita

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Unasyn

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Unasyn dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • antibiotik kumpulan aminoglycoside seperti gentamycin
  • ubat cair darah seperti warfarin
  • methotrexate
  • tetracyclines 

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar