Apa itu Vaksin Hepatitis B?
Vaksin Hepatitis B dapat melindungi diri kita daripada jangkitan virus Hepatitis B. Ia membantu badan kita untuk menghasilkan antibodi yang akan bertindak untuk membunuh kuman ini apabila badan kita dijangkiti.
Virus ini biasanya menjangkiti kita melalui:
- kontak darah atau cecair badan yang tercemar dengan virus seperti transfusi darah, tercucuk jarum suntikan, rawatan akupuntur dan tindikan tato
- hubungan seks secara rambang
- jangkitan kepada bayi semasa bersalin disebabkan oleh penggunaan alat-alatan hospital yang telah dicemari dengan darah ibu yang merupakan pembawa Hepatitis B
Jenama vaksin Hepatitis B yang boleh diperolehi di pasaran adalah Engerix-B dan Twinrix (gabungan vaksin Hepatitis A dan Hepatitis B).
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil vaksin Hepatitis B?
Anda perlu tahu bahawa vaksin Hepatitis B tidak boleh digunakan untuk melindungi badan daripada jangkitan Hepatitis A, C dan E. Ia juga tidak boleh membunuh virus Hepatitis B sekiranya anda telah dijangkiti sebelum vaksin diambil.
Anda tidak boleh mengambil vaksin ini sekiranya anda pernah mengalami masalah alahan kepada vaksin ini semasa suntikan yang lepas.
Untuk memastikan yang suntikan ini tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan kepada badan, pastikan anda memaklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit HIV atau AIDS
- penyakit kencing manis
- penyakit hati yang kronik
- penyakit kegagalan fungsi buah pinggang
- pernah menjalinkan hubungan seks bebas, menagih dadah, menerima transfusi darah dan mengalami kecederaan jarum suntikan
- pernah mengalami masalah alahan ubat
Pengambilan vaksin Hepatitis B semasa kehamilan
Vaksin Hepatitis B selamat untuk diberikan kepada wanita hamil dan ia jarang mendatangkan kesan sampingan dan kemudaratan kepada bayi. Namun, ia lebih digalakkan untuk diambil sebelum hamil.
Pengambilan vaksin Hepatitis B semasa penyusuan badan
Vaksin Hepatitis B selamat untuk diambil semasa penyusuan badan dan ia jarang mendatangkan kesan sampingan kepada pesakit dan bayi.
Cara pengambilan vaksin Hepatitis B
Vaksin Hepatitis B biasanya diberikan melalui suntikan intramuskular oleh doktor atau jururawat.
Biasanya suntikan akan diberikan sebanyak 3 kali mengikut jadual 0,1 dan 6 bulan bagi memastikan penghasilan antibodi yang optimum di dalam badan.
Kesan sampingan vaksin Hepatitis B
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Selain itu, vaksin ini juga boleh mengakibatkan kesan sampingan berikut:
- pembengkakan dan rasa sakit pada bahagian kulit yang disuntik
- demam
- badan berasa letih
- gangguan sistem penghadaman seperti cirit-birit, muntah, sakit perut dan kembung perut
- pening atau sakit kepala
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan vaksin Hepatitis B
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan vaksin Hepatitis B dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- cyclosporine
- tacrolimus
- ubat-ubatan kemoterapi
- kortikosteroid seperti prednisolone