Apa itu Valium?
Valium tergolong di dalam kumpulan ubat jenis benzodiazepine. Ia bertindak memangkinkan tindakan gamma aminobutyric acid (GABA) iaitu sejenis neurotransmitter yang merencatkan tindak balas saraf pada otak.
Valium digunakan untuk merawat masalah kecelaruan (anxiety disorder), withdrawal akibat berhenti mengambil minuman beralkohol secara tiba-tiba dan penyakit sawan.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Valium?
Anda tidak boleh menggunakan valium sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan benzodiazepine yang lain seperti Ativan, Klonopin dan Xanax
- myasthenia gravis
- penyakit hati yang teruk
- glaukoma jenis narrow-angle
- kesukaran bernafas seperti penyakit apnea
Elakkan pengambilan ubat ini bersama dengan minuman beralkohol kerana ia boleh mengakibatkan sesak nafas.
Valium tidak boleh digunakan oleh pesakit yang berumur 6 bulan ke bawah. Pastikan anda mendapat nasihat doktor sebelum memberikan ubat ini kepada kanak-kanak.
Untuk memastikan pengambilan valium adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- kesukaran bernafas
- glaukoma
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang
- sawan
- ketagihan minuman beralkohol
- masalah emosi seperti kemurungan dan tingkah laku ingin membunuh diri
Pengambilan valium semasa kehamilan
Kajian telah menunjukkan pengambilan valium semasa trimester pertama kehamilan boleh meningkatkan risiko kecacatan kepada bayi sebanyak kurang daripada 1%. Pengambilannya semasa hujung trimester ketiga kehamilan pula boleh mengakibatkan bayi mengantuk semasa dilahirkan. Namun pengambilan valium masih diteruskan bagi wanita hamil yang mempunyai penyakit yang perlu dirawat dengan valium kerana kepentingan rawatan adalah demi untuk menjaga kesihatan pesakit berbanding bayi dalam kandungan.
Pengambilan valium semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan valium boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya masih dianggap selamat semasa penyusuan badan tetapi harus untuk jangka pendek dan dalam dos yang rendah.
Cara pengambilan valium
Ambil valium seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Valium boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pastikan ia diambil dengan segelas penuh air.
Valium boleh diperolehi dalam bentuk tablet dan sirup. Untuk pengambilan yang berbentuk tablet, jangan kunyah atau hancuhkan ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberi kesan yang optimum.
Bagi pengambilan sirup valium, pastikan anda menyukat dos ubat dengan menggunakan sudu penyukat atau picagari ubat yang telah dibekalkan oleh pihak farmasi.
Sepanjang pengambilan ubat ini, anda perlu menjalani ujian darah berkala bagi memantau kesan sampingan ubat terhadap organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.
Elakkan ubat ini daripada dikongsi dengan individu yang mempunyai sejarah ketagihan dadah.
Elakkan pengambilan ubat ini untuk tempoh lebih daripada 4 bulan kecuali atas nasihat doktor.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Valium
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- kesukaran untuk bernafas
- pening atau mengantuk yang teruk
- berasa gelisah atau mengalami paranoia
- sawan
Walau bagaimanapun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- mengantuk
- berasa penat
- otot-otot badan berasa lemah
- hilang keseimbangan badan semasa berdiri dan berjalan
Anda mungkin boleh mengalami gejala withdrawal sekiranya ubat anda dihentikan secara tiba-tiba terutama apabila anda telah menggunakannya untuk tempoh yang lama. Gejala withdrawal boleh berlarutan selama 12 bulan. Pastikan anda hubungi doktor sekiranya anda mengalami masalah-masalah berikut:
- perubahan emosi seperti kemurungan atau euforia
- perasaan untuk membunuh diri
- pergerakan otot-otot pada anggota badan yang tak terkawal
- halusinasi
- mudah berasa keliru dan gelisah
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Valium
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan valium dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- clozapine
- fluvoxamine
- orlistat
- sodium oxybate
- alprazolam
- lorazepam
- zolpidem
- carisoprodol
- cyclobenzaprine
- cetirizine
- diphenhydramine
- codeine
- hydrocodone
Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.