Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Valsartan | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Valsartan | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Valsartan?

Valsartan adalah ubat yang tergolong di dalam kumpulan angiotensin II reseptor blocker (ARB). Ia merencatkan pembentukan ikatan antara hormon angiotensin II dengan reseptor angiotensin I (AT1) pada otot-otot salur darah dan kelenjar adrenal. Akibatnya tindak balas pengecutan salur darah dan rembesan hormon aldosteron oleh kelenjar adrenal yang disebabkan oleh hormon angiotensin II dapat direncatkan lalu menyekat kenaikan tekanan darah.

Valsartan digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi dan lemah jantung yang disebabkan oleh komplikasi tekanan darah tinggi.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Valsartan?

Anda tidak boleh mengambil valsartan sekiranya anda pernah mengalami sejarah alahan semasa pengambilannya.

Sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang, anda tidak boleh mengambil valsartan dalam tempoh 36 jam sebelum dan selepas mengambil ubat aliskiren kerana interaksi kedua-dua ubat ini boleh mengakibatkan tekanan darah rendah, kerosakan buah pinggang dan kenaikan paras elektrolit kalium di dalam darah.

Untuk memastikan pengambilan valsartan adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit jantung
  • penyakit buah pinggang
  • sedang mengamalkan diet rendah sodium

Pengambilan Valsartan semasa kehamilan

Pengambilan valsartan semasa kehamilan boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang dan paru-paru bayi. Di samping itu, pengambilannya sewaktu trimester kedua dan ketiga kehamilan juga boleh mengakibatkan masalah kurang air ketuban. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan.

Pengambilan Valsartan semasa penyusuan badan

Tiada kajian yang jelas untuk mengesahkan sama ada pengambilan valsartan semasa penyusuan badan adalah selamat kepada bayi atau tidak. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan kecuali sekiranya keadaan terdesak.

Cara pengambilan Valsartan

Ambil valsartan seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Valsartan boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Sebaik-baiknya ia diambil pada waktu yang sama setiap hari.

Semasa pengambilan ubat ini, tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan kesan sampingan ubat pada buah pinggang.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini tanpa nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana ia boleh mengakibatkan penyakit anda menjadi melarat secara tiba-tiba.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Valsartan

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • pening kepala atau rasa hendak pitam
  • tanda-tanda paras elektrolit potasium tinggi di dalam darah seperti rasa loya, kesemutan dan kebas pada bahagian hujung tangan dan kaki, sakit dada dan jantung berdebar
  • kencing tak lawas
  • sakit perut dan cirit-birit
  • sakit pinggang dan sakit sendi
  • batuk dan selsema
  • kelesuan pada seluruh badan

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Valsartan

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan valsartan dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • aliskiren
  • lithium
  • ubat kumpulan ACE inhibitors seperti ramipril
  • pil perancang keluarga yang mengandungi drospirenone
  • ritonavir
  • cyclosporine
  • ubat kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen, naproxen, celecoxib, diclofenac, indomethacin dan meloxicam

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar