Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Warfarin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Wa We

Warfarin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Warfarin?

Warfarin adalah ubat cair darah yang tergolong di dalam kumpulan coumarin dan indandione. Ia bertindak merencatkan tindakan vitamin K epoxide reductase complex 1 (VKORC1) iaitu enzim yang mengaktifkan vitamin K yang terkandung di dalam badan. Mekanisme ini akan mengurangkan kandungan simpanan vitamin K di dalam badan lalu mengakibatkan sintesis bahan aktif untuk pembekuan darah menjadi sedikit.

Warfarin digunakan untuk menghindari pembekuan darah pada pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit injap jantung rosak
  • penyakit denyutan jantung tak teratur (arrhythmia)
  • pesakit yang baru mengalami serangan jantung
  • pesakit yang menjalani pembedahan prostesis

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Warfarin?

Anda tidak boleh menggunakan warfarin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • pernah mengalami alahan semasa pengambilannya
  • penyakit tekanan darah tinggi
  • akan menjalani pembedahan major seperti pembedahan abdomen, otak dan tulang belakang
  • akan menjalani prosedur perubatan seperti spinal tap dan bius spinal
  • menghidap penyakit berkaitan darah yang boleh membuatkan badan mengalami perdarahan yang luar biasa seperti gusi dan hidung berdarah
  • menghidap ulser perut dan usus
  • menghidap penyakit aneurysm pada salur darah otak
  • menghidap penyakit varices pada salur esofagus

Untuk memastikan anda menggunakan warfarin dengan selamat, pastikan anda memaklumkan doktor sekiranya anda menghidap penyakit-penyakit berikut:

  • kencing manis
  • lemah jantung
  • penyakit hati dan buah pinggang
  • penyakit yang berkaitan dengan darah seperti thrombocytopenia, hemophilia dan sebagainya

Pengambilan warfarin semasa kehamilan

Kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan warfarin semasa kehamilan boleh mengakibatkan kecacatan dan perdarahan yang luar biasa pada bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan.

Pengambilan warfarin semasa penyusuan badan

Kajian telah menunjukkan bahawa warfarin boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa penyusuan badan dengan syarat bayi anda tidak menghidap sebarang penyakit yang berkaitan dengan darah yang boleh mengakibatkan perdarahan yang luar biasa.

Cara pengambilan warfarin

Ambil warfarin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Warfarin boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pastikan anda mengambilnya pada waktu yang sama setiap hari.

Warfarin boleh mengakibatkan darah cair dan sekiranya anda mengalami luka, perdarahan boleh menjadi sukar untuk dihentikan. Pastikan anda segera berjumpa doktor sekiranya anda mengalami kecederaan yang serius.

Anda juga akan menjalani ujian darah secara berkala untuk memantau kepekatan darah (INR dan prothrombin time). Dos ubat mungkin akan diubah dari masa ke semasa bergantung kepada bacaan INR anda.

Sepanjang pengambilan warfarin, anda juga tidak boleh mengambil sebarang ubat kerana interaksi ubat-ubatan tertentu dengan warfarin boleh mengganggu kepekatan darah. Oleh itu, maklumkan doktor mengenai pengambilan warfarin sebelum anda mendapatkan preskripsi ubat.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan warfarin

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • sakit atau pening kepala secara tiba-tiba
  • kulit mengalami lebam dan bengkak
  • perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
  • haid dengan perdarahan yang banyak lebih daripada 7 hari
  • air kencing atau najis berdarah
  • muntah berdarah atau berwarna hitam
  • sendi membengkak dan berasa sakit terutama selepas mengalami impak seperti terjatuh

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan warfarin

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan warfarin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • Acetaminophen
  • Alkohol
  • Amiodarone
  • Bosentan (Tracleer)
  • Capecitabine (Xeloda)
  • Carbamazepine
  • Dicloxacillin
  • Doxycycline
  • Fibrate
  • Vaksin influenza
  • Fluconazole
  • Fluoroquinolone
  • Mercaptopurine
  • Metronidazole (Flagyl)
  • Phenytoin
  • Rifampin
  • Sulfamethoxazole (Septra/Bactrim)
  • Testosterone
  • Thyroxine
  • Antiplatelet
  • Minyak ikan Omega-3
  • Non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAID)
  • Steroid
  • Vitamin E

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar