Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Wellbutrin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Wa We

Wellbutrin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Wellbutrin?

Wellbutrin berasal daripada ubat generik bupropion. Ia bertindak dengan cara merencatkan pengambilan neurotransmitter norepinephrine dan dopamine pada simpang laluan saraf (synaptic cleft) lalu memanjangkan kesan tindakan kedua-dua neurotransmitter tersebut. 

Wellbutrin digunakan untuk merawat masalah kemurungan dan simptom ketagihan rokok bagi pesakit yang ingin berhenti merokok.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Wellbutrin?

Anda tidak boleh menggunakan Wellbutrin sekiranya anda sedang mengambil ubat jenis MAO inhibitor sepanjang 14 hari yang lepas kerana interaksi kedua-dua jenis ubat boleh memudaratkan kesihatan. Contoh ubat-ubatan kumpulan MAO inhibitor adalah isocarboxazid, linezolid, methylene biru, phenelzine, rasagiline, selegiline dan tranylcypromine.

Anda juga tidak boleh menggunakan Wellbutrin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini
  • penyakit sawan
  • kurang selera makan seperti anorexia atau bulimia
  • sedang berhenti secara tiba-tiba daripada mengambil minuman beralkohol, ubat sawan atau sedatif  seperti Xanax, Valium, Fiorinal dan Klonopin 

Wellbutrin boleh menyebabkan sawan terutamanya jika anda menghidap penyakit tertentu atau menggunakan ubat-ubatan tertentu. Beritahu doktor anda tentang semua keadaan perubatan anda dan ubat-ubatan yang anda gunakan.

Jangan ambil ubat ini untuk merawat lebih daripada satu penyakit pada satu masa. Jika anda mengambil Wellbutrin untuk merawat masalah kemurungan, jangan gunakannya dalam masa yang sama untuk merawat simptom-simptom berhenti merokok.

Sesetengah pesakit mempunyai pemikiran untuk membunuh diri semasa pertama kali mengambil antidepresan. Doktor anda perlu memeriksa kemajuan penyakit anda dari masa ke semasa sewaktu anda menggunakan ubat ini. Keluarga anda atau penjaga lain juga perlu berjaga-jaga terhadap perubahan dalam tingkah laku anda.

Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah menghidap:

  1. kecederaan kepala, sawan atau tumor saraf otak atau tulang belakang
  2. glaukoma ‘narrow-angle’
  3. penyakit jantung atau tekanan darah tinggi
  4. kencing manis
  5. penyakit buah pinggang atau hati
  6. kemurungan, gangguan bipolar atau penyakit mental yang lain
  7. jika anda mengambil minuman beralkohol

Pengambilan Wellbutrin semasa kehamilan

Kajian menunjukkan pengambilan Wellbutrin semasa kehamilan boleh mengakibatkan masalah jantung kepada bayi dan meningkatkan risiko keguguran. Namun ubat ini masih diteruskan bagi pesakit yang telah menggunakannya sebelum hamil untuk merawat masalah kemurungan kerana jika ubat ini dihentikan secara tiba-tiba, masalah ini boleh kembali. Bagi pesakit yang belum pernah mengambil Wellbutrin, ia akan digunakan jika tiada pilihan ubat-ubatan yang lebih sesuai dapat membantu merawat masalah pesakit. 

Pengambilan Wellbutrin semasa penyusuan badan

Kajian telah menunjukkan bahawa Wellbutrin boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu penggunaannya semasa penyusuan badan dianggap selamat.

Cara pengambilan Wellbutrin

Ambil Wellbutrin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Jangan hancurkan atau kunyah tablet ubat jenis slow-release atau extended-release sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.

Anda tidak digalakkan untuk menghentikan pengambilan Wellbutrin secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan sindrom withdrawal seperti kemurungan, kegelisahan, insomnia dan kelesuan seluruh badan.

Anda berisiko untuk menghidap tekanan darah tinggi sekiranya anda menggunakan Wellbutrin dan nicotine patch secara serentak. Oleh itu, tekanan darah anda harus diperiksa dengan kerap sekiranya pengambilan sedemikian diamalkan.

Pengambilan Wellbutrin boleh menyebabkan ujian dadah air kencing menjadi positif. Oleh itu sekiranya anda mengambil ubat ini, maklumkan kepada doktor sebelum ujian dijalankan.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Wellbutrin

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Laporkan kepada doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom penyakit yang baru semasa pengambilan atau selepas ubat ini dihentikan seperti kegelisahan, kemurungan, serangan panik, insomnia, cepat berasa marah, mempunyai tingkah laku aggresif dan mempunyai perasaan untuk membunuh diri.

Kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan ubat ini adalah:

  1. serangan sawan
  2. perubahan mood atau tingkah laku
  3. penglihatan kabur, sakit atau bengkak mata, atau melihat ‘halos’ di keliling lampu
  4. degupan jantung menjadi laju dan tidak teratur
  5. mulut berasa kering, sakit tekak dan hidung tersumbat
  6. telinga berdesing
  7. penglihatan kabur
  8. loya, muntah, sakit perut, hilang selera makan dan sembelit
  9. masalah tidur (insomnia)
  10. anggota badan menggeletar, berpeluh dan berasa cemas
  11. pembentukan ruam pada kulit
  12. susut berat badan
  13. kerap kencing
  14. sakit atau pening kepala
  15. sakit sendi dan otot

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Wellbutrin

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Wellbutrin dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat antidepresant seperti fluoxetin, sertraline dan escitalopram
  • stimulant seperti lisdexamfetamine dan amphetamine
  • atomoxetine
  • ubat kencing manis seperti metformin dan insulin
  • clopidogrel (Plavix)
  • ubat rawatan penyakit sawan seperti carbamazepine, phenytoin dan phenobarbital 
  • ubat antivirus seperti ritonavir (Norvir), lopinavir, ritonavir (Kaletra) dan efavirenz (Sustiva)
  • ubat antipsikotik seperti haloperidol dan risperidone
  • metoprolol
  • ubat antiarrhythmia seperti propafenone dan flecainide
  • tamoxifen
  • theophylline
  • kortikosteroid seperti prednisolone dan dexamethasone
  • monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti selegiline
  • levodopa
  • amantadine

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut. 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar