Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Xalatan | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Xalatan | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Xalatan?

Xalatan adalah sejenis ubat titis mata yang digunakan untuk merawat penyakit glaukoma. Ia berasal daripada ubat generik latanoprost. Xalatan bertindak sebagai agonis kepada reseptor Prostaglandin F untuk melancarkan saliran aqueous humor yang terkandung di dalam bola mata. Sekiranya pengumpulan aqueous humor berlaku, ia akan mengakibatkan kenaikan tekanan intraokular mata lalu merosakkan mata. 

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Xalatan?

Jangan titikkan ubat titis Xalatan semasa memakai kanta lekap kerana tindak balas antara kedua-duanya boleh merosakkan mata. Sekiranya anda ingin menggunakan kanta lekap, tunggu lebih kurang 15-30 minit selepas ubat dititis sebelum memakai kanta lekap anda.

Elakkan muncung ubat daripada bersentuhan dengan sebarang permukaan kerana ia boleh menyebabkan kemasukan kuman ke dalam botol ubat.

Sekiranya anda perlu menggunakan lebih daripada satu jenis ubat titis mata, jarakkan penggunaan ubat-ubatan tersebut selama 15 minit.

Anda tidak boleh menggunakan Xalatan sekiranya anda mempunyai sejarah alahan kepada latanoprost dan benzalkonium chloride.

Pastikan anda memaklumkan doktor sebelum menggunakan Xalatan sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • bengkak dan sakit mata 
  • jangkitan mata seperti herpes
  • penyakit mata jenis retinal detachment
  • pernah menjalani pembedahan mata atau mengalami kecederaan mata

Penggunaan Xalatan semasa kehamilan

Tiada kajian yang membuktikan penggunaan Xalatan oleh wanita hamil selamat kepada bayi. Namun kajian ke atas penggunaannya oleh haiwan hamil tidak menunjukkan sebarang kecacatan atau masalah kesihatan pada kandungan. Oleh itu Xalatan selamat untuk digunakan semasa kehamilan tetapi penggunaannya harus dipantau oleh doktor.

Penggunaan Xalatan semasa penyusuan badan

Tiada kajian yang telah dilakukan mengenai penggunaan Xalatan oleh wanita yang menyusu badan. Oleh itu kesannya pada kesihatan bayi masih tidak diketahui. Namun Xalatan mempunyai tempoh tindakan yang singkat dan kebarangkaliannya untuk meresap ke dalam darah agak rendah. Oleh itu, penggunaannya semasa penyusuan badan dianggap selamat.

Cara penggunaan Xalatan

Ubat titis mata Xalatan biasanya digunakan sekali sehari pada sebelah malam. Jangan gunakan lebih daripada dos yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Pastikan anda membasuh kedua-dua belah tangan sebelum menggunakan Xalatan bagi menghindari jangkitan mata.

Cara menitiskan ubat mata:

  1. Dongakkan kepala anda ke belakang dan singkap kelopak mata bawah untuk mendedahkan bahagian dalam kelopak mata. Posisikan ubat titis mata di atas mata anda dalam keadaan condong. Alihkan pandangan mata anda jauh daripada botol ubat dan picitkan botol ubat sekali sahaja.
  2. Tutup mata anda selama 2-3 minit tanpa mengelipkan mata dan posisikan kepala berada dalam keadaan tunduk. Dalam masa yang sama tekan bahagian dalam penjuru mata selama seminit bagi mengelak ubat daripada mengalir ke dalam saluran air mata. 
  3. Tunggu selama 5 minit sebelum mengulangi prosedur ini pada mata sebelah.

Jangan gunakan ubat ini sekiranya warnanya telah berubah kerana ia boleh merosakkan mata anda.

Pastikan ubat ini disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelaknya daripada rosak. Jangan letakkannya di bahagian freezer peti sejuk.

Kesan sampingan Xalatan

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa penggunaan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Laporkan kepada doktor sekiranya anda mengalami kesan sampingan berikut:

  • sakit mata, bengkak mata dan pembentukan discaj pada mata
  • mata menjadi sensitif kepada cahaya
  • penglihatan menjadi kabur
  • mata berasa pedih atau pijau 

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Xalatan

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Xalatan dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • bimatoprost
  • non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti diclofenac, ibuprofen dan naproxen
  • ubat titis mata jenis berlainan
  • thimerosal

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut. 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar