Apa itu Xanax?
Xanax tergolong di dalam kumpulan ubat jenis benzodiazepine dan ia berasal daripada ubat generik alprazolam. Xanax akan mengikat pada reseptor gamma aminobutyric acid (GABA) di dalam otak lalu menguatkan kesan tindakan reseptor tersebut. Akibatnya aktiviti saraf di dalam otak akan menjadi perlahan dan lemah.
Xanax digunakan untuk merawat masalah kegelisahan dan kemurungan.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Xanax?
Xanax boleh melambatkan dan menghentikan pernafasan terutamanya jika pengambilannya digabungkan dengan ubat-ubatan yang boleh mengganggu pernafasan seperti opioid dan minuman beralkohol.
Pengambilan Xanax boleh mengakibatkan masalah ketagihan ubat, overdose ubat dan kematian. Oleh itu, simpannya di tempat selamat agar tidak mudah dijumpai oleh orang.
Jangan hentikan pengambilan Xanax secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor terutama sekiranya anda telah menggunakannya untuk jangka masa yang lama kerana ia boleh mengakibatkan masalah sindrom withdrawal seperti tangan menggeletar, insomnia, kemurungan dan bisa badan. Gejala sindrom withdrawal boleh berlarutan selama lebih daripada 12 bulan.
Anda tidak boleh mengambil Xanax sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan lain yang tergolong di dalam kumpulan benzodiazepine seperti lorazepam, diazepam, Ativan, Versed, Klonopin dan Valium
- sedang menerima rawatan ubat antifungus jenis itraconazole dan ketoconazole
Untuk memastikan pengambilan Xanax adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- kesukaran bernafas
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang
- ketagihan minuman beralkohol atau dadah
- masalah emosi seperti kemurungan dan tingkah laku ingin membunuh diri
Pengambilan Xanax semasa kehamilan
Pengambilan Xanax semasa trimester pertama kehamilan boleh mengakibatkan kecacatan pada bayi seperti mulut sumbing. Manakala pengambilannya semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan boleh mengakibatkan bayi yang baru dilahirkan mengalami sindrom withdrawal dan floppy infant syndrome. Oleh itu, pengambilan Xanax semasa kehamilan tidak disyorkan.
Pengambilan Xanax semasa penyusuan badan
Pengambilan Xanax semasa penyusuan badan boleh menyebabkan bayi menjadi mengantuk dan kurang aktif terutama pada bayi pramatang. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan Xanax
Ambil Xanax seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Xanax boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Namun sekiranya anda mudah mengalami masalah perut kembung, pengambilan selepas makan lebih disyorkan.
Jangan hancurkan atau kunyah tablet ubat jenis extended-release sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.
Jangan hentikan pengambilan Xanax secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor kerana ia boleh mengakibatkan sindrom withdrawal seperti tangan menggeletar, rasa gelisah dan cemas, insomnia dan bisa badan.
Anda juga perlu menjalani ujian darah berkala sepanjang tempoh pengambilan ubat ini bagi memantau kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.
Jangan berkongsi ubat ini dengan orang yang tidak dikenali terutama sekiranya dia mempunyai sejarah ketagihan dadah.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Xanax
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- kesukaran untuk bernafas
- pening atau mengantuk yang teruk
- berasa gelisah atau mengalami paranoia
- sawan
- diplopia
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas, bengkak pada kedua-dua belah kaki dan kenaikan berat badan secara mendadak
Anda mungkin boleh mengalami gejala withdrawal sekiranya ubat anda dihentikan secara tiba-tiba terutama apabila anda telah menggunakannya untuk tempoh yang lama. Gejala withdrawal boleh berlarutan selama 12 bulan. Pastikan anda menghubungi doktor sekiranya anda mengalami masalah-masalah berikut:
- perubahan emosi seperti kemurungan atau euforia
- perasaan untuk membunuh diri
- pergerakan otot-otot pada anggota badan yang tak terkawal
- halusinasi
- mudah berasa keliru dan gelisah
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Xanax
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Xanax dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- itraconazole
- ketoconazole
- sodium oxybate
- tipranavir
- carbamazepine
- cimetidine
- clarithromycin
- erythromycin ethylsuccinate
- erythromycin lactobionate
- erythromycin stearate
- idelalisib
- itraconazole
- ivacaftor
- ketoconazole
- nefazodone
- rifabutin
- rifampin
- saquinavir
- valerian
- brimonidine
- ciprofloxacin
- esomeprazole
- eucalyptus
- fleroxacin
- gemifloxacin
- teh hijau
- levofloxacin
- lithium
- moxifloxacin
- norfloxacin
- ofloxacin
- omeprazole
- rifabutin
- sage
- vinpocetine
- zolpidem
Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.