Apa itu Yasmin?
Yasmin adalah sejenis ubat perancang keluarga yang berasal daripada generik ubat drospirenone dan ethinyl estradiol. Ia bertindak merencatkan pengeluaran ovum daripada ovari. Yasmin juga menyebabkan lapisan mukus yang terletak pada dinding mukosa serviks dan rahim menjadi pekat dan ia akan menyukarkan pergerakan sperma.
Yasmin digunakan untuk mencegah kehamilan.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Yasmin?
Anda tidak boleh menggunakan Yasmin sekiranya anda sedang hamil atau baru bersalin.
Pengambilan Yasmin boleh meningkatkan risiko untuk menghidap serangan jantung, angin ahmar dan darah beku pada pembuluh darah. Risiko ini lebih tinggi pada individu yang menghidap penyakit kencing manis, hiperlipidemia, tekanan darah tinggi dan obesiti. Risiko ini juga lebih tinggi di kalangan individu yang merokok dan berumur 35 tahun ke atas.
Pengambilan Yasmin tidak disyorkan kepada mereka yang menghidap masalah-masalah berikut:
- penyakit kelenjar adrenal
- penyakit buah pinggang
- penyakit tekanan darah tinggi yang tak terkawal
- penyakit jantung
- penyakit yang berkaitan dengan darah mudah bergumpal
- penyakit kanser payu dara, rahim, ovari dan serviks
- penyakit hati
- migrain
- pernah mempunyai sejarah menghidap jaundis semasa mengandung atau pengambilan pil perancang keluarga
- perokok
- wanita yang beumur 35 tahun ke atas
- sedang menerima rawatan ubat anti-virus jenis ombitasvir, paritaprevir dan ritonavir
Pengambilan Yasmin semasa kehamilan
Mengikut kajian, pengambilan Yasmin semasa awal mengandung boleh mengakibatkan tumbesaran berat badan bayi menjadi terbantut, kelahiran pramatang dan penyakit yang berkaitan dengan sistem kencing. Namun pengambilannya tidak mengakibatkan kecacatan kepada bayi. Oleh itu, pengambilan Yasmin semasa kehamilan tidak disyorkan.
Pengambilan Yasmin semasa penyusuan badan
Yasmin boleh diambil seawal 6 minggu selepas bersalin dengan syarat wanita tersebut tidak menghidap sebarang penyakit yang berkaitan dengan darah seperti darah mudah bergumpal dan sebagainya. Namun ia lebih selamat untuk diamalkan selepas 6 bulan bersalin.
Cara pengambilan Yasmin
Ambil Yasmin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Mulakan pengambilan pil anda pada hari pertama haid atau pada hari Ahad minggu anda datang haid.
Pastikan anda mengambil Yasmin hanya sebiji setiap malam. Jangan terlupa mengambil ubat anda kerana ia boleh meningkatkan kebarangkalian untuk anda menjadi hamil.
Anda mungkin boleh mengalami perdarahan haid dalam tempoh 3 bulan pertama pengambilan Yasmin. Maklumkan kepada doktor sekiranya perdarahannya banyak dan berpanjangan lebih daripada 7 hari.
Anda juga harus menghentikan pengambilan Yasmin sekiranya anda perlu menjalani pembedahan besar yang memerlukan anda rehat di katil untuk jangka masa yang lama selepas pembedahan.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Apa perlu anda lakukan sekiranya terlupa mengambil ubat?
Sekiranya anda terlupa mengambil ubat, pastikan anda mengikut tatacara pengambilan yang betul bagi mengurangkan risiko kehamilan. Tatacara yang betul adalah seperti berikut:
- Sekiranya anda terlupa mengambil ubat pada 1 hari, anda perlu mengambil 2 tablet ubat pada malam berikutnya dan disusuli dengan 1 tablet ubat seperti biasa pada malam seterusnya.
- Sekiranya anda terlupa mengambil ubat anda untuk 2 malam berturut-turut pada minggu pertama dan kedua, anda perlu mengambil 2 tablet ubat untuk 2 malam berturut-turut dan disusuli dengan 1 tablet ubat seperti biasa pada malam seterusnya. Pastikan anda menggunakan kaedah pencegahan kehamilan yang lain seperti kondom untuk tempoh 7 hari dari hari pertama anda terlupa mengambil ubat.
- Sekiranya anda terlupa mengambil ubat anda untuk 2 malam berturut-turut pada minggu ketiga, buang pek ubat lama anda dan mulakan pek baru pada malam itu.
- Sekiranya anda terlupa mengambil ubat anda untuk 3 malam berturut-turut pada minggu pertama, kedua atau ketiga, buang pek ubat lama anda dan mulakan pek baru pada malam itu.
Sekiranya anda pernah terlupa mengambil ubat dan tiada kedatangan haid selama 2 bulan berturut-turut, maklumkan kepada doktor kerana anda mungkin hamil.
Kesan sampingan Yasmin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda serangan jantung seperti sakit dada yang merebak ke rahang dan bahu sebelah kiri, sesak nafas, berpeluh dan pening kepala
- tanda-tanda angin ahmar seperti rasa kebas dan lemah pada separuh bahagian badan secara tiba-tiba, pertuturan menjadi pelat, penglihatan kabur dan sakit kepala yang teruk
- tanda-tanda pembentukan darah beku pada salur darah seperti sesak nafas, batuk berdarah, penglihatan menjadi buta, bengkak kaki dan sakit dada
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tekanan darah meningkat secara tiba-tiba
- insomnia
- kemurungan
- badan mudah berasa lesu
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya dan muntah
- rasa sakit pada payu dara
- sakit kepala
- badan mudah berasa lesu
- kenaikan berat badan
- perubahan pada kitaran haid
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Yasmin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Yasmin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- aromatase inhibitor seperti anastrozole dan exemestane
- atazanavir
- cobicistat
- fosamprenavir
- ospemifene
- tamoxifen
- tizanidine
- tranexamic acid
- anti-virus seperti ombitasvir, paritaprevir dan ritonavir
- aliskiren,
- ACE inhibitor seperti enalapril dan lisinopril
- angiotensin receptor blocker seperti losartan dan valsartan
- heparin
- NSAIDs seperti ibuprofen dan naproxen
- potassium-sparing diuretic seperti eplerenone, spironolactone dan triamterene
- griseofulvin
- modafinil
- rifampin
- ubat rawatan penyakit sawan seperti barbiturate, carbamazepine, felbamate, phenytoin, primidone dan topiramate
- ubat rawatan penyakit HIV seperti nelfinavir, nevirapine dan ritonavir
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.