Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Zantac | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Za Zi Zo

Zantac | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Zantac?

Zantac tergolong di dalam kumpulan ubat jenis histamine-2 blocker. Ia berasal daripada generik ubat ranitidine. Zantac bertindak dengan mengikat pada reseptor histamine yang terletak pada dinding sel parietal perut lalu merencatkan gabungan histamine pada reseptor tersebut. Tindak balas ini akan mengurangkan rembesan jus gaster di dalam perut.

Zantac digunakan untuk merawat masalah ulser perut dan usus, sindrom Zollinger-Ellison dan penyakit reflux asid gastroesofagus (gastroesophageal reflux disease).

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Zantac?

Anda tidak boleh menggunakan Zantac sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan histamine-2 blockers seperti cimetidine
  • sakit dada yang tidak diperiksa dengan betul kerana penyakit reflux asid gastroesofagus boleh menyerupai serangan jantung
  • sejarah penyakit jangkitan paru-paru pneumonia kerana pengambilannya boleh menambahkan risiko untuk menghidapnya
  • porphyria
  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati 

Pengambilan Zantac semasa kehamilan

Kajian menunjukkan pengambilan Zantac semasa kehamilan tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk digunakan semasa mengandung tetapi haruslah selepas mendapat nasihat daripada doktor anda. 

Pengambilan Zantac semasa penyusuan badan

Pengambilan Zantac semasa penyusuan badan tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil oleh wanita yang menyusu badan.

Namun, ia boleh meningkatkan paras hormon prolaktin di dalam darah dan ini boleh mengakibatkan susu badan menjadi kurang dalam kes-kes yang terpencil. Oleh itu, pengambilannya disyorkan untuk jangka pendek bagi wanita yang baru hendak memulakan penyusuan badan.

Cara pengambilan Zantac

Ambil Zantac seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Zantac boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Bagi rawatan reflux asid gastroesofagus, pengambilannya disyorkan 30 minit sebelum makan.

Zantac juga boleh diambil dalam bentuk suntikan secara intramuscular atau intravenous untuk mendapat kesan kelegaan yang lebih cepat atau bagi pesakit yang menghadapi masalah untuk menelan kerana sakit dan bengkak tekak.

Pengambilan Zantac juga mungkin akan digabungkan dengan ubat-ubatan lain. Oleh itu, pastikan anda mengambil ubat-ubatan tersebut seperti yang telah diarahkan oleh doktor.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Zantac

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • sakit perut dan hilang selera makan
  • denyutan jantung yang lemah atau cepat
  • tanda-tanda jangkitan paru-paru seperti demam menggigil, sesak nafas, sakit dada dan batuk berkahak
  • pembentukan lebam pada kulit atau mengalami perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
  • tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
  • keguguran rambut
  • pembesaran payu dara lelaki
  • insomnia
  • sakit atau pening kepala

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • loya, muntah dan sakit perut
  • cirit-birit atau sembelit

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Zantac

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Zantac dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • amiodarone
  • antacids seperti magnesium hydroxide dan calcium carbonate
  • antifungus seperti itraconazole, ketoconazole dan posaconazole
  • cefuroxime
  • clavulanic acid
  • cyclosporine
  • delavirdine
  • dexmethylphenidate
  • diltiazem
  • dronedarone
  • fluvastatin
  • glyburide
  • HIV protease inhibitors seperti darunavir, indinavir, lopinavir, saquinavir dan tipranavir
  • hematinik seperti ferrous fumarate, ferrous gluconate dan ferrous sulfate
  • ledipasvir
  • lumacaftor
  • mesalamine
  • metformin
  • methylphenidate
  • midazolam
  • pentoxifylline
  • prasugrel
  • procainamide
  • protein kinase inhibitor seperti bosutinib, dabrafenib, dasatinib, nilotinib dan pazopanib
  • quinidine
  • quinine
  • rilpivirine
  • risedronate
  • St. John’s wort
  • sucralfate
  • tacrolimus
  • varenicline
  • velpatasvir
  • verapamil
  • warfarin

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar