Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Ziprasidone | Cara pengambilan, Kegunaan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Za Zi Zo

Ziprasidone | Cara pengambilan, Kegunaan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Ziprasidone?

Ziprasidone adalah kumpulan ubat antipsikotik atipikal yang digunakan untuk merawat penyakit mental seperti skizofrenia dan gangguan bipolar. 

Ziprasidone bertindak dengan mengawal aktiviti dopamin dan serotonin di dalam otak. Ubat ini adalah antagonis reseptor dopamin D2 dan serotonin 5-HT2A, serta agonis reseptor serotonin 5-HT1A. Tindakan gabungan ini membantu menyeimbangkan aktiviti neurotransmiter di dalam sistem saraf pusat, membantu mengurangkan simptom psikotik dan memberi kesan mood yang stabil.

Ziprasidone juga kurang menyebabkan kesan sampingan kenaikan berat badan dan masalah metabolisme berbanding dengan ubat antipsikotik yang lain.

Apa yang perlu pesakit tahu sebelum menggunakan ziprasidone?

Pesakit tidak boleh menggunakan ziprasidone sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. sejarah alahan kepada ubat ini
  2. gangguan ritma denyutan jantung
  3. sindrom QT panjang sama ada pada diri anda atau keluarga anda
  4. penyakit lemah jantung yang tidak terkawal atau tidak dirawat
  5. baru mengalami serangan jantung dalam masa sebulan

Doktor mungkin akan mengubah dos ubat anda sekiranya anda mempunyai penyakit-penyakit tertentu. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sekiranya anda menghidap penyakit-penyakit berikut:

  1. penyakit jantung seperti arrhythmia, penyakit koronari jantung dan lemah jantung
  2. pernah mengalami serangan jantung atau angin ahmar dalam masa terdekat
  3. kerap mengalami pitam
  4. kanser payu dara
  5. kencing manis
  6. penyakit sawan atau epilepsi
  7. masalah ketidakseimbangan elektrolit potassium dan magnesium di dalam darah
  8. masalah tingkah laku atau pemikiran untuk membunuh diri
  9. penyakit Alzheimer
  10. penyakit buah pinggang
  11. penyakit hati
  12. masalah untuk menelan

Ziprasidone tidak diluluskan untuk digunakan oleh pesakit yang berumur di bawah 18 tahun.

Pengambilan ziprasidone semasa kehamilan

Ubat ini tidak boleh diambil semasa mengandung melainkan manfaatnya kepada pesakit melebihi risikonya kepada janin. Bayi yang terdedah kepada ubat antipsikotik semasa trimester ketiga kehamilan berisiko untuk mendapat simptom ekstrapiramidal dan/atau gejala withdrawal selepas bersalin. Ia boleh mengganggu pernafasan dan pengambilan susu pada bayi yang baru lahir.

Pengambilan ziprasidone semasa penyusuan badan

Ziprasidone dianggap selamat untuk diambil semasa penyusuan badan berbanding dengan ubat antipsikotik yang lain. Namun pengambilannya harus dipantau dengan teliti oleh doktor bagi mengelak bayi daripada mengalami simptom ekstrapiramidal, masalah pernafasan dan pengambilan susu.

Cara pengambilan ziprasidone

Pastikan anda mengikut arahan doktor anda mengenai dos dan jadual pengambilan ziprasidone. Jangan mengambil dos yang lebih banyak atau kurang daripada yang disyorkan oleh doktor anda. Sekiranya anda terlupa mengambil ubat anda, jangan ambil dos tambahan untuk menggantikannya. Ambil dos seterusnya seperti yang dijadualkan oleh doktor anda.

Ziprasidone diambil secara oral. Ia boleh diperolehi dalam bentuk kapsul atau tablet.

Pastikan anda mengambil ubat ini semasa makan.

Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan darah akan dilakukan secara berkala bagi mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.

Sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis, pemeriksaan paras glukosa darah juga perlu dipantau dari masa ke semasa bagi menghidari hiperglisemia.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini tanpa nasihat doktor walaupun simptom anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana tindakan ini boleh mendatangkan gejala withdrawal seperti insomnia, kemurungan, kegelisahan, sakit sendi, keletihan dan kenaikan selera makan.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan ziprasidone

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • simptom kardiovaskular seperti jantung berdebar, sesak nafas dan pening kepala
  • pergerakan otot-otot yang tak terkawal pada jari-jari tangan atau kaki, mata, mulut dan muka
  • reaksi kulit seperti pembentukan ruam dan gatal-gatal
  • simptom-simptom darah putih rendah seperti demam, sakit tekak, selsema dan batuk
  • simptom-simptom hiperglisemia seperti dahaga, kerap membuang air kecil, penglihatan kabur dan kelesuan
  • gangguan libido
  • gangguan sistem saraf seperti kekejangan otot, berpeluh yang tak terkawal, rasa keliru dan gelisah
  • kenaikan berat badan
  • tanda-tanda penyakit buah pinggang seperti kaki bengkak, kencing tak lawas dan kenaikan berat badan secara mendadak
  • tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat dan jaundis

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan ziprasidone

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ziprasidone dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  1. Antipsikotik atipikal lain seperti risperidone, quetiapine, aripiprazole dan olanzapine
  2. Antidepresan seperti fluoxetine, sertraline dan paroxetine
  3. Benzodiazepin seperti lorazepam, alprazolam dan diazepam
  4. Antikonvulsan seperti valproic acid dan carbamazepine
  5. Beta-blocker seperti propranolol dan metoprolol
  6. Antihistamin seperti cetirizine dan diphenhydramine
  7. Ubat-ubatan untuk rawatan penyakit kencing manis seperti insulin, metformin, gliclazide, Janumet dan sebagainya
  8. Ubat-ubatan untuk rawatan penyakit HIV seperti Zidovudine (AZT), Lamivudine (3TC), Abacavir (ABC), Tenofovir (TDF) dan Emtricitabine (FTC)
  9. Ubat-ubatan untuk rawatan jangkitan malaria seperti quinidine
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar