Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Zithromax | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Za Zi Zo

Zithromax | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Zithromax?

Zithromax tergolong di dalam kumpulan ubat jenis macrolide dan ia berasal daripada generik ubat azithromycin. Zithromax bertindak merencatkan pembiakan dan tumbesaran bakteria dengan menghalang sintesis protein yang berlaku di peringkat sel. 

Zithromax digunakan untuk merawat jangkitan bakteria jenis Gram-positive dan Gram-negative termasuk jangkitan Bordetella pertussis dan Legionella. Ia digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada sistem pernafasan, kulit, telinga dan alat kelamin.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Zithromax?

Anda tidak boleh menggunakan Zithromax jika anda mempunyai:

  1. masalah alahan kepada Zithromax atau ubat-ubatan daripada kumpulan azithromycin
  2. penyakit jaundis atau hati yang disebabkan oleh pengambilan azithromycin
  3. masalah alahan kepada antibiotik daripada kumpulan macrolide seperti clarithromycin, erythromycin dan telithromycin

Untuk memastikan Zithromax selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah menghidap:

  1. penyakit hati
  2. penyakit buah pinggang
  3. myasthenia gravis
  4. masalah denyutan jantung tak teratur
  5. paras garam elektrolit kalium yang rendah dalam darah
  6. sindrom QT panjang (dalam diri anda atau ahli keluarga)

Pengambilan Zithromax semasa kehamilan

Kajian pengambilan Zithromax oleh haiwan hamil tidak menunjukkan masalah kecacatan dan keguguran pada anak yang dilahirkan. Namun tiada kajian yang eksklusif telah dijalankan ke atas wanita hamil dan kesannya kepada kandungan masih kurang jelas. Namun pengambilan Zithromax telah lama digunakan untuk merawat jangkitan semasa kehamilan. Oleh itu, pengambilannya dianggap selamat tetapi harus di bawah pemantauan doktor.

Pengambilan Zithromax semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan Zithromax boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan dianggap selamat tetapi haruslah di bawah pemantauan doktor.

Cara pengambilan Zithromax

Ambil Zithromax seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan. Dos dan tempoh rawatan mungkin tidak sama untuk setiap jenis jangkitan.

Zithromax boleh diperolehi dalam bentuk kapsul dan sirup. Ia boleh diambil dalam keadaan 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan.

Buang sirup Zithromax yang sudah tidak digunakan dalam tempoh 10 hari.

Goncang sirup Zithromax sebelum anda menyukat dos ubat. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat dos ubat yang telah disediakan oleh pihak klinik.

Gunakan Zithromax untuk tempoh masa yang telah ditetapkan sepenuhnya walaupun simptom anda telah bertambah baik. Sekiranya anda tidak menghabiskan antibiotik ini dalam tempoh yang ditetapkan ia boleh meningkatkan risiko jangkitan selanjutnya. Zithromax tidak boleh digunakan untuk merawat jangkitan virus seperti selsema influenza.

Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba bagi mengelak ubat ini daripada rosak.

Kesan sampingan Zithromax

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Hubungi doktor dengan segera sekiranya anda mengalami kesan sampingan berikut:

  1. sakit perut yang teruk dan cirit-birit yang berdarah atau tidak berdarah
  2. tanda-tanda arrhythmia seperti degupan jantung laju, rasa berdesir pada dada, sesak nafas dan pening kepala secara tiba-tiba
  3. tanda-tanda masalah hati seperti loya, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan abdomen, kegatalan pada kulit, rasa letih, hilang selera makan, air kencing berwarna gelap, najis berwarna pucat dan jaundis (kulit atau mata berwarna kuning)

Hubungi doktor dengan segera sekiranya bayi anda mengalami muntah yang kerap semasa menyusu badan.

Warga emas yang mengambil Zithromax mungkin lebih cenderung untuk mengalami kesan sampingan arrhythmias.

Kesan sampingan Zithromax yang lazim berlaku adalah:

  1. cirit-birit
  2. loya, muntah dan sakit perut
  3. sakit kepala

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Zithromax

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Zithromax dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat rawatan penyakit HIV seperti nelfinavir
  • warfarin
  • digoxin
  • colchicine
  • phenytoin
  • antasid yang mengandungi magnesium dan aluminium

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar