Isnin, 23 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Isu Semasa Strok Haba | Simptom, Komplikasi & Cara Pencegahan

Strok Haba | Simptom, Komplikasi & Cara Pencegahan

by admin
0 comments
strok haba

Apa itu strok haba?

Strok haba adalah sejenis penyakit yang berlaku apabila badan terdedah kepada cuaca panas yang ekstrim untuk satu tempoh masa yang lama. Strok haba berlaku apabila mekanisme termoregulasi badan menjadi gagal. Antaranya mekanisme peluh yang membantu mengeluarkan haba badan gagal berfungsi lalu menyebabkan suhu badan meningkat secara mendadak. Akibatnya tekanan darah merosot dan peredaran darah ke organ-organ penting di dalam badan terutamanya otak menjadi lemah.

Apa itu simptom-simptom strok haba?

Simptom-simptom strok haba yang perlu diambil perhatian adalah:

  1. Kenaikan suhu badan melebihi 103°F atau 39.5°C
  2. Tekanan darah menjadi rendah dan nadi menjadi laju (>100 denyutan/minit)
  3. Kulit bertukar merah, kering dan berasa bahang
  4. Pening kepala
  5. Kesukaran untuk menumpukan perhatian
  6. Penglihatan kabur
  7. Seluruh anggota badan menjadi sangat lesu
  8. Jantung berdebar
  9. Loya
  10. Fikiran mudah menjadi keliru
  11. Pitam

Komplikasi strok haba

Strok haba jika dibiarkan ia boleh mendatangkan kemudaratan yang serius. Strok haba boleh mengakibatkan:

  1. Kerosakan pada organ-organ penting seperti otak, buah pinggang, hati dan jantung
    • apabila suhu badan meningkat, tekanan darah akan menjadi rendah dan mengakibatkan oksigen lambat sampai ke organ. Ia akan mengakibatkan iskemia lalu menyebabkan organ membengkak dan menjadi rosak.
  2. Kematian
    • Kegagalan fungsi jantung yang serius boleh mengakibatkan jantung berhenti berfungsi lalu menyebabkan kematian.

Siapa yang berisiko tinggi untuk mendapat strok haba?

Strok haba boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Namun terdapat golongan yang lebih mudah mendapat gejala ini. Antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat strok haba adalah:

  1. Golongan kanak-kanak dan warga emas
  2. Golongan yang melakukan aktiviti fizikal yang lasak di bawah panas matahari yang terik
  3. Golongan yang tidak biasa dengan cuaca panas terik dan telah terdedah kepada cuaca panas yang ekstrim secara tiba-tiba seperti para pelancong
  4. Golongan yang sedang mengambil ubat-ubatan tertentu terutamanya ubat darah tinggi jenis beta-blocker dan diuretic, serta ubat antipsikotik 
  5. Golongan yang menghidap penyakit jantung dan paru-paru serta mempunyai masalah obesiti

Bagaimana cara untuk mencegah strok haba?

Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, pastikan anda mengamalkan tips-tips ini untuk mengelak daripada berlakunya strok haba. Tips-tips pencegahan strok haba adalah:

  1. Minum air yang mencukupi untuk pastikan badan anda tidak mengalami dehidrasi.
    • Bagi kaum lelaki anda digalakkan untuk meminum paling kurang 3.5L air sehari manakala kaum wanita paling kurang 2.5L air sehari.
  2. Memakai pakaian yang tidak memerangkap dan menyerap haba badan. 
    • Elakkan daripada memakai pakaian yang ketat dan tebal sewaktu panas terik. Anda digalakkan untuk memakai pakaian yang longgar dan mudah mengeluarkan peluh. 
    • Elakkan daripada memakai pakaian yang berwarna hitam kerana ia mudah menyerap haba.
    • Pastikan bahagian leher anda tidak ditutupi dengan pakaian yang ketat kerana ia boleh menghimpit urat darah yang penting untuk membekalkan oksigen ke otak.
  3. Lindungi kulit anda dengan ‘sunscreen’ bagi mencegah kulit anda daripada mengalami selaran matahari.
  4. Jangan membiarkan kanak-kanak dan warga emas duduk di dalam kenderaan untuk tempoh yang lama di bawah cuaca panas terik
  5. Berhati-hati dengan ubat-ubatan yang sedang anda ambil sekiranya anda berisiko tinggi untuk mendapat strok haba. Bincang dengan doktor anda dan jangan ubah dos atau hentikan ubat-ubatan ini tanpa mendapat nasihat doktor. Ubat-ubatan yang perlu diambil perhatian ialah ubat-ubatan bagi merawat penyakit darah tinggi dan masalah psikotik.
  6. Elakkan penglibatan dalam aktiviti lasak semasa panas terik. Anda mungkin boleh merancang masa yang lebih sesuai untuk melakukan akitiviti-aktiviti tersebut seperti pada waktu awal pagi.
  7. Amalkan aklimitasi untuk menyesuaikan kondisi badan dengan cuaca panas terik
    • Aklimitasi adalah proses penyesuaian badan dengan kondisi berbeza-beza. Bagi menyesuaikan badan dengan cuaca panas terik, anda boleh memulakan secara berperingkat dengan mendedahkan diri kepada cuaca panas untuk satu tempoh yang singkat dahulu. Ia biasanya mengambil masa lebih kurang 1-2 minggu untuk badan menyesuaikan diri dengan cuaca panas terik.

 

You may also like

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar