Apa itu Celecoxib?
Celecoxib adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat non-steroidal anti-inflammatory (NSAID). Ubat ini bertindak dengan mengurangkan penghasilan bahan semulajadi di dalam badan iaitu prostaglandin yang boleh menyebabkan simptom sakit dan radang.
Celecoxib digunakan untuk merawat simptom kesakitan dan keradangan yang disebabkan oleh pelbagai penyakit seperti arthritis, ankylosing spondylitis dan senggugut.
Celecoxib digunakan untuk merawat arthritis rheumatoid juvana pada kanak-kanak yang berumur 2 tahun dan ke atas. Ia juga digunakan dalam rawatan hereditary polyp pada usus besar.
Celecoxib jenama Elyxyb digunakan untuk merawat sakit kepala migrain pada orang dewasa. Elyxyb hanya akan melegakan sakit kepala migrain tetapi ia tidak sesuai digunakan untuk mencegah sakit kepala.
Jenama celecoxib yang boleh diperolehi di pasaran adalah Celebrex, Celxib 200, Rabirox dan Zobrex.
Maklumat penting
Celecoxib boleh meningkatkan risiko serangan jantung atau strok walaupun anda tidak mempunyai sebarang faktor risiko. Jangan gunakan ubat ini sebelum atau selepas pembedahan pintasan jantung atau CABG.
Celecoxib juga boleh menyebabkan pendarahan perut dan usus. Keadaan ini boleh berlaku tanpa amaran semasa anda menggunakan ubat ini terutamanya pada warga emas. Anda tidak boleh mengambil ubat ini jika anda sudah menghidap penyakit pendarahan di dalam perut atau usus.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Celecoxib?
Anda tidak boleh menggunakan celecoxib jika anda mempunyai alahan kepadanya atau jika anda mempunyai:
- alahan kepada ubat kumpulan sulfa
- sejarah serangan asma atau tindak balas alahan yang teruk selepas mengambil aspirin atau NSAID.
Untuk memastikan celecoxib selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah menghidap:
- ulser perut, pendarahan di dalam perut atau usus
- penyakit jantung, tekanan darah tinggi
- asma
- masalah pendarahan
- penyakit hati atau buah pinggang
- jika anda merokok atau minum alkohol
Pengambilan semasa mengandung
Sekiranya anda hamil, anda tidak boleh mengambil celecoxib melainkan selepas mendapat pemeriksaan yang sewajarnya daripada doktor anda. Mengambil NSAID dalam tempoh 20 minggu terakhir kehamilan boleh menyebabkan masalah jantung atau buah pinggang yang serius pada bayi yang belum lahir dan kemungkinan mendatangkan komplikasi pada kehamilan anda.
Ubat ini boleh menjejaskan kesuburan pada wanita. Tanya doktor anda tentang risiko ini.
Ia mungkin tidak selamat diambil semasa penyusuan badan. Tanya doktor anda tentang sebarang risiko.
Bagaimanakah anda perlu mengambil Celecoxib?
Ambil celecoxib secara disiplin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikuti semua arahan pada label preskripsi anda dan baca semua panduan ubat dengan betul. Gunakan dos terendah yang berkesan dalam merawat penyakit anda.
Anda boleh mengambil celecoxib semasa atau selepas makan. Jangan ambil semasa perut anda kosong.
Sekiranya anda tidak dapat menelan keseluruhan kapsul, buka dan taburkan ubat ke dalam sesudu sos epal. Telan campuran tersebut dengan air.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Celecoxib
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Segera ke hospital jika anda mengalami tanda-tanda serangan jantung atau strok seperti sakit dada yang merebak ke rahang atau bahu, kebas secara tiba-tiba atau berasa lemah pada separuh bahagian badan, pertuturan menjadi pelat, bengkak kaki dan rasa sesak nafas.
Berhenti menggunakan ubat ini dan hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- ruam pada kulit
- masalah jantung – bengkak pada kaki, berasa sesak nafas atau berasa tidak selesa pada dada
- tanda-tanda pendarahan perut – najis berdarah atau berwarna hitam, batuk darah atau muntah yang berwarna hitam seperti kopi
- masalah hati – loya, sakit perut (bahagian atas sebelah kanan abdomen), kegatalan tanpa ruam pada kulit, keletihan, air kencing berwarna teh pekat atau jaundis (kuning pada bahagian kulit atau mata)
- masalah buah pinggang – kencing tak lawas, bengkak pada kaki, berasa letih dan sesak nafas
- sel darah merah rendah (anemia) – kulit pucat, keletihan yang luar biasa, pening kepala, sesak nafas, tangan dan kaki berasa sejuk.
Kesan sampingan Celecoxib yang lazim berlaku adalah:
- sakit perut, pedih ulu hati, perut kembung, cirit-birit atau sembelit, loya dan muntah
- bengkak pada tangan atau kaki
- pening kepala
- hidung tersumbat, bersin, sakit tekak