Apa itu Labetalol?
Labetalol adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis beta-blocker. Ia biasanya digunakan untuk merawat penyakit darah tinggi.
Labetalol boleh diperolehi di dalam bentuk tablet dan suntikan. Jenama yang boleh diperolehi di pasaran adalah Trandate dan Normodyne.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Labetalol?
Anda tidak boleh menggunakan Labetalol jika anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan beta-blocker yang lain
- penyakit konduksi jantung yang serius seperti “AV block” (second atau third degree block)
- asma
- degupan jantung yang sangat perlahan
- kegagalan fungsi jantung (lemah jantung)
- tekanan darah rendah
Untuk memastikan Labetalol selamat untuk anda, beritahu doktor anda jika anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit kegagalan fungsi jantung seperti mudah sesak nafas, kaki bengkak dan tidur dengan batal tinggi
- sejarah pembedahan jantung coronary artery bypass surgery (CABG)
- penyakit angina
- asma, bronkitis, emphysema
- kencing manis
- penyakit kegagalan fungsi hati atau buah pinggang
- pheochromocytoma (tumor kelenjar adrenal)
- alahan kepada ubat-ubatan darah tinggi yang berasal daripada kumpulan ubat jenis beta-blocker
Labetalol boleh menjejaskan fungsi bahagian pupil mata. Jika anda memerlukan pembedahan mata, maklumkan kepada doktor pakar bedah tentang sejarah pengambilan Labetalol anda walaupun anda tidak lagi mengambilnya.
Pengambilan Labetalol semasa mengandung
Kajian menunjukkan pengambilan Labetalol semasa mengandung boleh memberikan kesan negatif jangka pendek kepada bayi semasa dilahirkan iaitu tekanan darah rendah, sesak nafas, denyutan jantung lemah dan paras glukosa yang rendah. Namun, penggunaan Labetalol semasa mengandung dalam rawatan tekanan darah tinggi masih dipraktikkan.
Oleh itu, sekiranya anda mengambil Lebetalol semasa kehamilan, doktor akan memantau keadaan kesihatan bayi anda dalam tempoh 24 jam pertama selepas dilahirkan bagi mengesan kesan-kesan sampingan berikut.
Pengambilan Labetalol semasa penyusuan badan
Pengambilan Labetalol semasa penyusuan badan adalah selamat kerana ia meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit untuk memudaratkan kesihatan bayi.
Cara pengambilan Labetalol
Ambil Labetalol seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Tablet labetalol diambil secara oral. Manakala suntikan Lebetalol pula biasanya akan diberikan oleh doktor atau jururawat melalui suntikan ke dalam urat darah vena (intravenous). Ia akan diberikan kepada anda sekiranya tekanan darah anda terlalu tinggi dan perlu diturunkan secepat mungkin. Selepas suntikan, anda perlu kekal berada dalam keadaan baring selama 3 jam bagi mengelak gejala pening kepala semasa berdiri.
Semasa pengambilan Lebetalol, tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan ke atas anda secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan kesan sampingan ubat dan penyakit terhadap organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Labetalol
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- rasa hendak pitam
- kadar denyutan jantung perlahan, nadi lemah, sesak nafas, dada berasa berat
- sesak nafas (walaupun dengan senaman ringan), bengkak pada bahagian kaki, peningkatan berat badan secara mendadak
- sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur,
- tanda-tanda masalah hati – sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen, hilang selera makan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
Walau bagaimanapun, kesan sampingan Lebetalol yang biasa berlaku adalah:
- pening kepala
- rasa keletihan
- loya, muntah
- kulit menjadi merah, berpeluh dan berasa panas secara tiba-tiba
- rasa kesemutan pada bahagian hujung kaki dan tangan
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Labetalol
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Labetalol dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- Ubat-ubatan darah tinggi jenis lain seperti calcium channel blocker dan ACE inhibitor
- aminophylline, theophylline
- cimetidine
- ubat-ubatan untuk rawatan penyakit jantung
- ubat-ubatan untuk rawatan penyakit kencing manis seperti insulin dan metformin
- ubat-ubatan untuk merawat masalah kemurungan seperti amitriptyline, doxepin, desipramine, imipramine dan nortriptyline
- ubat-ubatan untuk merawat penyakit lelah seperti albuterol, formoterol, levalbuterol, metaproterenol, olodaterol dan salmeterol