Apa itu Celebrex?
Celebrex adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID). Ia adalah sejenis analgesik (ubat tahan sakit) yang bertindak dengan merencatkan tindakan sejenis hormon yang dinamakan prostaglandin yang boleh merangsang deria sakit dan menyebabkan keradangan.
Celebrex (Celecoxib) biasanya digunakan untuk melegakan kesakitan pada badan yang disebabkan oleh penyakit arthritis, ankylosing spondylitis, senggugut dan sakit perut yang disebabkan oleh penyakit polyps pada usus besar.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Celebrex?
Anda tidak boleh mengambil celebrex jika anda mempunyai sejarah alahan kepada ubat daripada kumpulan:
- sulfa seperti sulfamethoxazole-trimethoprim (Bactrim)
- nonsteroidal anti-inflammatory drug seperti diclofenac sodium (voltaren), mefenamic acid (ponstan) dan indomethacin
Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda mempunyai masalah kesihatan berikut:
- ulser perut atau usus
- penyakit jantung koronari
- tekanan darah tinggi
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- lelah
- penyakit hematologi seperti darah cair
- ketagihan alkohol
Pengambilan celebrex boleh membahayakan kesihatan bayi terutama sekiranya ianya diambil semasa trimester ketiga kehamilan dan penyusuan badan. Ia boleh merosakkan organ buah pinggang dan jantung bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan dan penyusuan badan harus dielakkan.
Cara pengambilan Celebrex
Ambil celebrex seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda.
Ambil celebrex sewaktu atau selepas makanan.
Jika anda perlu menjalani pembedahan, beritahu doktor pakar bedah terlebih awal bahawa anda sedang menggunakan ubat ini. Anda mungkin perlu berhenti mengambilnya seminggu sebelum tarikh pembedahan anda.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Celebrex
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan celebrex adalah:
- masalah jantung yang boleh menyebabkan simptom sesak nafas, pengumpulan air yang berlebihan di dalam badan (kaki bengkak, paru-paru berair dan kenaikan berat badan secara mendadak)
- perdarahan perut atau usus yang boleh menyebabkan simptom muntah atau najis berwarna hitam
- masalah hati yang boleh menyebabkan simptom jaundis (kulit dan mata berwarna kuning), sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen, rasa letih, kencing berwarna teh dan rasa kegatalan pada kulit
- masalah buah pinggang seperti simptom kencing tak lawas dan pengumpulan air yang berlebihan di dalam badan (bengkak kaki, sesak nafas dan berat badan naik secara mendadak)
- anemia
- pening
- selsema atau hidung tersumbat