Isnin, 23 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Diclofenac | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Diclofenac | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Diclofenac?

Diclofenac adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis non-steroidal anti-inflammatory (NSAID). Ubat ini bertindak dengan merencatkan penghasilan bahan semulajadi di dalam badan iaitu prostaglandin yang boleh menyebabkan simptom sakit dan radang.

Diclofenac digunakan untuk merawat simptom sakit sendi yang ringan atau sederhana seperti osteoarthritis, arthritis rheumatoid dan ankylosis spondylitis. Ia juga digunakan untuk merawat sakit senggugut dan sakit kepala migrain.

Jenama yang boleh diperolehi di pasaran adalah Almiral, Analpan, Avonac, Cataflam, Clofec, Dicloran, Difnal K, Doroxan, PanaFlex Extra, Remafen, Remethan, Rhemofenax, Vokam, Voltaren SR, Votan SR dan Zolterol SR.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Diclofenac?

Diclofenac boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan strok walaupun anda tidak mempunyai sebarang faktor risiko. Jangan gunakan ubat ini sebelum atau selepas pembedahan pintasan jantung (CABG).

Diclofenac juga boleh menyebabkan pendarahan perut dan usus. Keadaan ini boleh berlaku tanpa amaran semasa pengambilan ubat ini terutamanya pada warga emas.

Anda tidak boleh menggunakan diclofenac jika anda alah kepadanya atau pernah mengalami serangan asma atau tindak balas alahan yang teruk selepas mengambil ubat daripada kumpulan NSAID seperti aspirin dan ibuprofen.

Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda mempunyai masalah kesihatan berikut:

  • penyakit jantung
  • tekanan darah tinggi
  • ulser atau pendarahan di dalam perut
  • asma
  • penyakit hati atau buah pinggang

Pengambilan diclofenac semasa mengandung

Diclofenac tidak disyorkan untuk diambil oleh wanita hamil terutama jika umur kehamilan telah menjangkau lebih daripada 30 minggu. Paracetamol biasanya disyorkan untuk mengawal simptom sakit dan demam semasa mengandung.

Pengambilan diclofenac semasa penyusuan badan

Pengambilan diclofenac semasa penyusuan badan adalah selamat. Hanya jumlah yang sangat sedikit yang akan masuk ke dalam susu badan. Jumlah tersebut tidak mampu untuk menyebabkan kesan sampingan kepada bayi anda. Ramai wanita telah menggunakannya semasa laktasi tanpa sebarang masalah.

Cara pengambilan Diclofenac

Ambil diclofenac seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut arahan pada label preskripsi anda dan baca semua panduan ubat dengan betul. Doktor mungkin akan mengubah dos ubat dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan simptom anda. Gunakan dos terendah yang efektif dalam merawat penyakit anda.

Jenama diclofenac yang berbeza mengandungi dos diclofenac yang berbeza dan kegunaan yang berbeza. Jika anda menukar jenama ubat, keperluan dos anda mungkin berubah. Oleh itu, ikut arahan doktor anda tentang dos ubat yang perlu diambil.

Pastikan ubat anda disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan kerana ia boleh mengubah komposisi ubat.

Kesan sampingan Diclofenac

Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.

Berhenti menggunakan ubat ini dengan segera dan hubungi doktor sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut:

  • ruam kulit
  • selsema atau hidung tersumbat
  • tanda-tanda kegagalan fungsi jantung seperti bengkak kaki, naik berat badan yang mendadak, dan sesak nafas
  • tanda-tanda kegagalan fungsi buah pinggang seperti kencing tak lawas, sakit semasa kencing, bengkak kaki dan sesak nafas
  • tanda-tanda kegagalan fungsi hati seperti kencing berwarna teh pekat, jaundis, sakit pada bahagian kanan atas abdomen, cirit-birit dan muntah
  • tanda-tanda ulser perut dan usus seperti najis berwarna hitam, sakit pada bahagian atas abdomen dan muntah berwarna hitam.

Kesan sampingan Diclofenac yang biasa berlaku ialah:

  • loya, muntah, sakit perut dan perut kembung
  • cirit-birit, sembelit
  • sakit kepala atau pening kepala
  • pembentukan ruam merah yang gatal pada kulit
  • hidung tersumbat
  • kenaikan tekanan darah
  • bengkak atau sakit pada bahagian tangan dan kaki

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar